5 hari, 510 kes tidak pakai tali pinggang keledar di dalam bas

5 hari, 510 kes tidak pakai tali pinggang keledar di dalam bas


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 510 kes tidak memakai tali pinggang keledar di dalam bas direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak dikuatkuasakan pada 1 Julai lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah itu direkodkan menerusi operasi khas yang dilaksanakan di seluruh negara terhadap bas ekspres, bas persiaran, bas pekerja dan bas sekolah serta kenderaan barangan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 396 kes yang direkodkan adalah membabitkan penumpang atau kelindan tidak memakai tali pinggang keledar, manakala 80 kes membabitkan pemandu kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar.

“Selain itu, sebanyak 26 kes tidak memakai tali pinggang keledar membabitkan penumpang berusia bawah 18 tahun dan lapan kes lagi kenderaan tiada tali pinggang keledar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

Dalam pada itu, Aedy berkata, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan itu bagi memastikan pemandu dan penumpang bas memakai tali pinggang keledar demi keselamatan mereka.

Katanya, pemandu yang gagal memberi peringatan mengenai pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang sebelum memulakan perjalanan dan memastikan penumpang memakainya boleh dikenakan tindakan kompaun.

“Kita (JPJ) akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bas, selain mendapatkan pengakuan daripada penumpang sama ada pemandu sudah membuat pengumuman atau tidak.

“Jika pemandu gagal berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu termasuk mengeluarkan kompaun atas kesalahan itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar, bermula 1 Julai.

Aedy dilapor berkata, penguatkuasaan itu terpakai kepada bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum tahun 2020 akan diberi tempoh tertentu untuk membuat pemasangan tali keledar itu.

Tegasnya, pemandu perlu memastikan kesemua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak dan mereka yang ingkar akan dikenakan saman sebanyak RM300.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top