5 kontraktor dikompaun, 16 notis dikeluar dalam Ops Korekan Jalan DBKL

5 kontraktor dikompaun, 16 notis dikeluar dalam Ops Korekan Jalan DBKL


suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima kontraktor pembinaan dikompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Korekan Jalan Awam Siri 1/2026 yang dijalankan di tujuh lokasi sekitar ibu negara, bermula kelmarin.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) jam 10 malam kelmarin dan berakhir jam 3 pagi, semalam.

Katanya, operasi membabitkan kawasan Jalan Kuchai Maju, Jalan Klang Lama, Jalan Puchong, Jalan Desa, Jalan Bangsar, Persiaran Sultan Salahuddin dan Jalan Maharajalela.

“Pemantauan dan pemeriksaan dijalankan bagi melihat kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor semasa pembaikan atau penyelenggaraan berkaitan pemasangan paip, penurapan jalan, pembaikan saluran longkang, kerja utiliti seperti pemasangan atau penyelenggaraan bekalan air, elektrik atau talian telekomunikasi yang gagal mematuhi syarat dan kelulusan kerja di tapak operasi.

“Hasil pemeriksaan di tujuh lokasi yang dipantau, sebanyak 16 notis kompaun dikeluarkan oleh DBKL ke atas lima kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi SOP.

“Ia membabitkan kesalahan seperti tidak meletakkan lampu blinker jalan, tiada pengawal lalu lintas jalan, menyebabkan kerosakan siar kaki jalan, menutup laluan jalan tanpa kebenaran, lori tiada permit mengangkut bahan binaan dan menyebabkan laluan jalan awam kotor serta kesalahan am lain,” kata kenyataan itu, hari ini.

DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan diambil menerusi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (WPKL) 1997 (empat notis kompaun) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (12 notis kompaun).

“Pihak CIDB turut mengeluarkan dua notis arahan hadir dan mengemukakan maklumat berkaitan kerja pembinaan tanpa kebenaran serta kelulusan kepada pihak kontraktor,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL berkata, akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa dan sebarang atau maklum balas, orang awam boleh salurkan menerusi pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top