saufi@mediaprima.com.my
MENDEPANI era digital yang semakin pesat berkembang, pastinya perkembangan teknologi akan terus berlaku tahun ini termasuk kemunculan pelbagai teknologi baharu yang berpotensi mengubah landskap industri dan gaya hidup masyarakat.
Lima teknologi yang bakal memasuki pasaran tahun ini ialah kecerdasan buatan (AI) generatif, kenderaan elektrik autonomi, teknologi perubatan nanoteknologi, rangkaian 6G dan sisem komutasi kuantum.
Bagaimanapun, setiap inovasi ini datang dengan cabarannya tersendiri yang perlu diatasi sebelum dapat digunakan secara meluas.
Berdasarkan laporan trend teknologi daripada Bank Dunia memperlihatkan perubahan drastik dalam segmen kepenggunaan namun, teknologi berkenaan turut hadir dengan cabaran yang lebih kompleks.
Pertama, AI generatif semakin mendapat tempat dalam pelbagai sektor seperti seni kreatif, penyelidikan dan perkhidmatan pelanggan.
Teknologi ini membolehkan mesin mencipta kandungan yang menyerupai hasil kerja manusia dari penulisan sehingga reka bentuk grafik.
Namun, cabaran utama AI generatif ialah isu hak cipta dan etika di mana pencipta asal mungkin kehilangan hak terhadap hasil kerja mereka, selain kebimbangan mengenai penyebaran maklumat palsu.
Kedua, kenderaan elektrik autonomi dijangka akan lebih banyak menelusuri jalan raya dengan pengeluar utama berlumba-lumba memperkenalkan model baharu.
Teknologi ini menjanjikan mobiliti lebih selamat dan mesra alam, namun cabaran yang dihadapi termasuk isu keselamatan, perundangan dan kesediaan infrastruktur untuk menyokong operasi kenderaan tanpa pemandu sepenuhnya.
Ketiga, bidang perubatan menyaksikan perkembangan pesat dalam teknologi nanoteknologi.
Penggunaan nanopartikel dalam rawatan penyakit seperti kanser dan gangguan genetik sekali gus pakar perubatan mempunyai kaedah lebih tepat untuk menyerang sel yang berpenyakit tanpa merosakkan tisu sihat.
Namun, terdapat kebimbangan mengenai kesan jangka panjang penggunaan nanoteknologi dalam tubuh manusia dan keperluan ujian klinikal yang ketat sebelum ia boleh digunakan secara meluas.
Keempat, teknologi komunikasi dijangka melangkah ke era baharu dengan pengenalan rangkaian 6G.
Teknologi ini dijangka menawarkan kelajuan pemindahan data yang jauh lebih tinggi berbanding 5G, membolehkan aplikasi masa nyata yang lebih kompleks seperti hologram interaktif dan realiti campuran.
Tetapi, pembangunan infrastruktur 6G memerlukan pelaburan yang besar dan terdapat kebimbangan mengenai kesannya terhadap kesihatan dan persekitaran.
Kelima, komputer kuantum semakin mendapat perhatian sebagai teknologi yang berpotensi merevolusikan pengkomputeran moden.
Keupayaan untuk menyelesaikan masalah kompleks yang tidak dapat ditangani komputer konvensional, teknologi ini dijangka digunakan dalam bidang penyelidikan, keselamatan siber dan pembangunan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, cabaran utama termasuk kos pembangunan yang tinggi dan kesukaran dalam mengekalkan kestabilan sistem kuantum.
Selain cabaran teknikal, kebanyakan teknologi baharu ini juga menghadapi isu penerimaan masyarakat.
Terdapat kebimbangan mengenai kesan teknologi terhadap pekerjaan, privasi data dan kemungkinan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
© New Straits Times Press (M) Bhd