Dua beradik yang terselamat daripada tragedi kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, awal pagi tadi, kini ditawarkan sebagai anak angkat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sempat membuat panggilan video bersama Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, yang kehilangan tempat bergantung dalam sekelip mata.
“Insya-Allah, MARA akan membantu memastikan pendidikan anak-anak ini tidak terhenti walau sedikit pun.
“Saya menawarkan supaya mereka dijadikan anak angkat MARA supaya kebajikan dan pelajaran mereka dipantau sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dua beradik ditawarkan anak angkat MARA
Beliau turut mengumumkan hasrat peribadi untuk menanggung kos pendidikan Ruby Adalia Balqis sehingga tamat pengajian universiti.
“Secara peribadi, saya juga menawarkan Ruby Adalia Balqis sebagai anak angkat saya sendiri dan akan menanggung segala kos pengajiannya sehingga tamat universiti.
“Ini janji saya. Pendidikan mereka tidak boleh terkorban kerana tragedi ini,” tambahnya.


Dalam panggilan video itu, Asyraf berkata beliau memberikan kata-kata semangat kepada kedua-dua beradik.
“Melihat wajah anak-anak ini yang menahan tangis namun cuba untuk kuat, benar-benar meruntun hati saya. Dalam sekelip mata, tempat bergantung hilang.
“Rumah musnah. Kasih ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya. Begitu berat ujian anak-anak ini.
“Saya berpesan kepada mereka supaya terus kuat. Kuat demi arwah ibu dan ayah. Kuat demi masa depan yang masih panjang. Jangan sesekali rasa keseorangan,” ujarnya.

Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Seri Ismail Mohamed Said; Ketua UMNO Bahagian Raub, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram; barisan kepimpinan UMNO Bahagian Raub serta Bahagian Pendidikan Menengah MARA yang pantas menghulurkan bantuan dan menyelaras tindakan segera.
Tambah beliau, Bahagian Pendidikan Menengah MARA diarahkan untuk melaksanakan solat sunat jenazah ghaib di semua 58 Maktab Rendah Sains MARA sebagai tanda solidariti dan doa buat mangsa kebakaran.
Artikel lain: Dua beradik yatim piatu selepas tragedi kebakaran di Raub, MARA janji hulur bantuan
Media sebelum ini melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, berkata operasi pemadaman berjaya mengawal api pada 4.48 pagi selepas bomba tiba di lokasi pada 4.15 pagi.

Kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya struktur rumah, selain melibatkan tiga kereta dan motosikal.
Lima sekeluarga maut termasuk pasangan Mohd Alawi Muhammad, 56, dan Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17; Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14; dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.
Sumber: FB DR ASYRAF WAJDI DUSUKI







