rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menjangkakan seramai 5,000 peserta akan menyertai Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka, esok.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, peserta terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan orang awam itu akan berkumpul di tiga lokasi utama iaitu Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad serta Sogo sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
“Polis menjangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar berikutan pertambahan jumlah peserta perhimpunan yang memasuki kawasan terbabit.
“Namun pemantauan kawalan lalu lintas tetap dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati pihak penganjur dan peserta supaya mematuhi peraturan dan undang-undang semasa berhimpun selaras hak kebebasan berhimpun secara aman yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sulizmie Affendy berkata, beberapa perkara tidak boleh dilakukan semasa berhimpun termasuk membawa objek tajam dan senjata merbahaya serta membawa atau membakar mercun, bunga api, bom asap atau suar.
“Mereka turut dilarang membawa atau mempamerkan sepanduk berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja); mengeluarkan ucapan berunsur fitnah; membawa kanak-kanak; merusuh serta melawan arahan pihak berkuasa.
“Selain itu aktiviti penerbangan dron adalah dilarang di kawasan perhimpunan kerana boleh mengundang bahaya kepada orang awam serta harta benda,” katanya.
Katanya, orang ramai diminta memberikan kerjasama kepada anggota bertugas dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau.
Tambahnya, polis komited memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan kelancaran aktiviti harian serta ekonomi.
Terdahulu, media melaporkan Humanity for Gaza (H4G) menganjurkan himpunan itu bagi menyampaikan suara rakyat negara ini berkaitan kekejaman rejim Israel di Gaza.
Pengerusinya Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz dilaporkan berkata, himpunan itu akan membawa beberapa tuntutan sebagai mesej jelas rakyat negara ini kepada dunia.
From: Aina
© New Straits Times Press (M) Bhd