am@hmetro.com.my
Temerloh: Enam kereta musnah dalam kebakaran sebuah bengkel kenderaan di Jalan Mutiara Semantan 1, Taman Mutiara Semantan di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, jentera bomba tiba pada jam 4.11 pagi dengan jarak perjalanan kira-kira 10 kilometer.
“Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran berlaku di sebuah bengkel kereta dan akses masuk ke dalam premis didapati berkunci.
“Komander operasi kemudian memohon bantuan polis bagi membolehkan pasukan memasuki kawasan bengkel untuk kerja pemadaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Salahuddin berkata, sebaik berjaya memasuki premis, didapati kebakaran membabitkan enam kenderaan pelbagai jenis.
“Kebakaran menyebabkan empat kereta iaitu Mazda, Mitsubishi, Honda Accord dan Proton Wira musnah terbakar 100 peratus.
“Manakala Perodua Myvi terbakar 30 peratus dan Suzuki Vitara terbakar 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata, operasi membabitkan 10 anggota BBP Temerloh dan BBP Mentakab itu berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 5.36 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi kedua-dua kejadian masih dalam siasatan.|
© New Straits Times Press (M) Bhd






