6 pasukan cilik bakal berentap dengan pasukan China

6 pasukan cilik bakal berentap dengan pasukan China


Raja Azlan Shah (tengah) bersama Gary (kiri) dan See Onn melihat pasukan yang akan beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Jemputan Malaysia-China Bawah 12 Tahun pada 21 dan 22 Disember ini.

ENAM pasukan tempatan bakal berentap bersama dua pasukan dari China dalam Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Jemputan Malaysia-China Bawah 12 Tahun pada 21 dan 22 Disember ini.

Pengarah Teknikal Pertandingan, Raja Azlan Shah Raja So’ib berkata, kejohanan yang pertama kali dianjurkan itu menampilkan pasukan Hainan Zhonghai FC dan Hainan Deneng FC.

Menurutnya, penganjuran program itu melibatkan kerjasama Kelab Rekreasi Cina Perak (PCRC) dan akan dilangsungkan di Padang PCRC di sini.

“Penganjuran program ini telah lama dirancang dan akhirnya berjaya direalisasikan. Sebanyak lapan pasukan akan berentap dalam kejohanan ini selama dua hari.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada pemain akar umbi menimba pengalaman bermain dengan pasukan luar negara,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) di sini pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden PCRC, Chan See Onn.

Raja Azlan Shah berkata, pendedahan di peringkat akar umbi itu amat penting bagi meningkatkan keyakinan pemain.

Menurutnya, peluang itu juga akan digunakan untuk mempromosikan budaya Malaysia kepada pemain muda China itu.

Jelasnya, ia juga merupakan salah satu program pelancongan sukan, sesuai dengan Tahun Melawat Perak 2024 yang dianjurkan kerajaan negeri Perak pada tahun ini.

Sementara itu, wakil pasukan Hainan Deneng FC dan Hainan Zhonghai FC, Gary Teh berkata, kejohanan tersebut diadakan sebagai meraikan hubungan persahabatan ke-50 tahun di antara Malaysia dan China.

Menurutnya, seramai 40 pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam kejohanan julung kali diadakan itu.

Pasukan tempatan yang terlibat ialah DIA Kickers’s, Perak FC Academy, PCRC A, PCRC B, ATM Gladiators, Ipoh Friday Club.



Source link

OR

Scroll to Top