DAP mengakui masih berdepan cabaran untuk menarik keyakinan pengundi Melayu, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun parti itu sudah enam dekad bertapak dalam landskap politik negara.
Bertahan hadapi semua cabaran
Memetik laporan daripada Berita Harian, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan usaha meraih sokongan pengundi Melayu perlu dibina berdasarkan keyakinan terhadap parti dan bukannya bergantung kepada individu tertentu.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa keputusan menukar kawasan ditandingi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim pada PRN Johor kali ini merupakan usaha menyekat kemaraan pemimpin Melayu dalam DAP.
“DAP sebuah parti berusia 60 tahun. Kami bertahan menghadapi semua cabaran dan tiada seorang individu lebih besar daripada parti. Parti itu sentiasa yang utama. Parti ini ada untuk kekal. Kami ialah sebuah parti untuk rakyat Malaysia.
“Pemimpin datang dan pergi. ADUN, Ahli Parlimen datang dan pergi, tetapi parti itu tetap kekal. Prinsip saya sentiasa meletakkan parti itu lebih besar daripada mana-mana individu,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Dokumentari 60 Tahun Perjalanan DAP.
Menurut Loke, tiada mana-mana individu dalam parti boleh menganggap diri mereka lebih penting daripada perjuangan parti yang telah dibina sejak sekian lama.
“Kami ialah Ahli Parlimen. Kami ialah ADUN. Hari ini kami menteri kerana DAP, bukan kerana kekuatan individu.
“Jadi saya tidak percaya dan saya menolak idea bahawa seorang (pemimpin) sahaja boleh mempengaruhi (sokongan terhadap sesebuah) parti itu,” ujarnya.
Bertanding 17 kerusi di PRN Johor
Dalam perkembangan berkaitan PRN Johor, Loke memaklumkan rundingan agihan kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) kini berada di peringkat akhir.
Menurut beliau, DAP dijangka bertanding di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meningkat berbanding 14 kerusi yang ditandingi pada PRN Johor 2022.
“Kami sedang melihat untuk bertanding di 17 kerusi, lebih kurang ada satu kerusi (tambahan itu) yang sudah dimuktamadkan. Tetapi disebabkan rundingan akhir antara PKR dan AMANAH, (jumlah akhir) akan dimuktamadkan dalam satu atau dua hari akan datang.
“Namun, saya boleh katakan bahawa DAP kemungkinan akan bertanding di 17 kerusi DUN dalam PRN akan datang di Johor ini,” katanya.
Pada PRN Johor yang berlangsung pada Mac 2022, DAP bertanding di 14 kerusi DUN dan berjaya memenangi 10 daripadanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan mesyuarat khas berkaitan urusan PRN Johor Ke-16 akan diadakan pada 12 Jun ini bagi membincangkan tarikh penting termasuk writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Sumber: Berita Harian (Mohd Nasaruddin Parzi)








