Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pemasaran agromakanan negara dengan komitmen untuk memastikan hasil tani dipasarkan secara cekap, adil dan berkesan demi kepentingan petani serta pengguna.
60 tahun FAMA
Sejak penubuhannya pada tahun 1965, FAMA berperanan melindungi petani dan nelayan daripada manipulasi orang tengah serta membantu menstabilkan harga makanan dalam negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak menegaskan komitmen kementerian untuk terus memperkasa peranan FAMA dalam memastikan keterjaminan makanan negara, memodenkan pemasaran hasil tani, memperluas rangkaian pasaran dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda.
“FAMA akan terus dipacu sebagai organisasi berpaksikan data, teknologi dan inovasi, sejajar dengan agenda digitalisasi sektor agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Jubli Intan FAMA ke-60 Tahun di RTC Gopeng, Perak hari ini.
Menurut beliau, usaha ini memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, industri dan rakyat bagi mengurangkan kebergantungan import makanan serta meningkatkan pengeluaran tempatan demi menjamin kedaulatan makanan negara.


Sementara itu, KPKM dan FAMA dalam satu kenyataan bersama berkata, sepanjang enam dekad penubuhannya, FAMA telah berevolusi daripada agensi pemasaran tradisional kepada organisasi moden yang menerajui ekosistem pemasaran hasil pertanian melalui pembangunan inisiatif seperti Pasar Tani, Pasar Borong, Agrobazaar, Ladang Kontrak dan pusat pengumpulan.
Artikel lain: Galak pemakanan sihat, KKM cadang buah & sayur masuk dalam SARA

“Program seperti Jualan Agro MADANI, FAMA Fest, Karnival Industri Makanan Asas Tani (IMAT), pemasaran digital dan eksport produk tempatan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.
Bertemakan “60 Tahun FAMA: Memacu Pemasaran, Menjamin Kedaulatan Makanan”, sambutan tersebut diadakan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober.


Penganjuran ini menampilkan pelbagai pengisian menarik melalui tiga kluster utama iaitu Galeri Sejarah 6 Dekad, Kingdom of Agrofood dan Empayar Makanan selain aktiviti keluarga, gaya hidup dan keusahawanan yang mencerminkan sokongan FAMA terhadap pembangunan usahawan tani serta pengukuhan sektor agromakanan negara.





