6,382 graduan IPG KPM ditempatkan di sekolah sejak Sept – Fadhlina

6,382 graduan IPG KPM ditempatkan di sekolah sejak Sept – Fadhlina


PUTRAJAYA – Kesemua 6,382 graduan dari Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG, KPM) tahun ini berjaya mendapatkan tempat mengajar di seluruh negara sejak September lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua tenaga pengajar yang menamatkan pengajian mereka selama lima tahun telah pun memulakan sesi pengajaran mereka, dua bulan lepas.

“Kesemua lebih 6,382 graduan IPG KPM telah ditempatkan pun, ini antara kejayaan Kerajaan Madani dan kita ucapkan kepada mereka yang sebenarnya telah mendapat posting jauh lebih awal sebelum mereka berkonvokesyen, hari ini.

“Mereka ini ditempatkan pada 31 September lalu, malah gaji pertama belum dapat.

“Mereka telahpun mendapat tempat dan telah melaksanakan tugas mereka sebagai guru,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Terdahulu Fadhlina merasmi dan menyampaikan sendiri skrol diploma dan ijazah pada Istiadat Konvokesyen IPD KPM ke-14 Tahun 2024.

Kesemua 6,382 pelajar terdiri daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP), Program Diploma Perguruan (PDP) dan Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).

Fadhlina turut memberi jaminan, tenaga pengajar yang dilahirkan daripada IPG KPM akan mendapat tempat mengajar kerana mutu pendidikannya diiktiraf.

“Alhamdulillah IPG KPM (100 peratus graduan dapat kerja) tiada masalah sebab dia peneraju pendidikan guru berkualiti bertaraf dunia.

“Guru-guru kita semuanya terlatih insya-Allah dan telah pun bersedia untuk menjadi tenaga pengajar di semua tempat yang kita tempatkan mereka,” katanya.

Katanya lagi, KPM turut memberi jaminan keperluan di semua tempat akan dilakukan secara adil dan sama rata.

“Komitmen kita adalah untuk memastikan semua anak kita mendapat yang terbaik daripada guru-guru ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top