7 cara didik anak dengan hikmah Luqman Al-Hakim

7 cara didik anak dengan hikmah Luqman Al-Hakim


MELIHAT kepada peningkatan kes jenayah dan salah laku membabitkan pelajar sekolah, ramai yang meluahkan kebimbangan terhadap arah tuju generasi muda hari ini.

Ia bukan sekadar menggambarkan keruntuhan moral masyarakat, tetapi juga menandakan kelemahan dalam pembinaan sahsiah dan penerapan nilai agama sejak kecil.

Lantaran itu, pendakwah, Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Dr Kamilin Jamilin mengajak ibu bapa untuk meneliti semula inti pati nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anak-anaknya yang telah dirakamkan dalam al-Quran.

DR KAMILIN JAMILIN

“Sentiasa ulang dan ulang kerana pesanan ini sangat berguna dalam membina sahsiah anak-anak dari peringkat awal lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Beliau kemudian merumuskan tujuh pesanan utama Luqman Al-Hakim yang boleh dijadikan asas dalam membentuk keperibadian dan akhlak anak-anak masa kini:

1. Mentauhidkan ALLAH SWT (Surah Luqman: 13)

Menurut beliau, tunjang utama pendidikan anak adalah mendidik mereka mengenal dan mentauhidkan ALLAH SWT.

“Apabila anak-anak benar-benar dididik untuk mengenal ALLAH dan mampu merasakan pengawasan-NYA dalam kehidupan, mereka akan sentiasa berhati-hati dalam bertindak.

“Mentauhidkan ALLAH bukan sekadar menghafal sifat-NYA atau Rukun Iman semata-mata, tetapi tarbiah yang mampu membuatkan ALLAH dirasakan hadir dalam kehidupan dan menjadi tujuan utama kita,” katanya.

IBU bapa perlu berpesan kepada anak masing-masing bahawa setiap tindakan dilakukan oleh mereka, ada akibat baik atau buruknya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

IBU bapa perlu berpesan kepada anak masing-masing bahawa setiap tindakan dilakukan oleh mereka, ada akibat baik atau buruknya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Beliau menegaskan, realiti hari ini menunjukkan anak-anak lebih takut kepada manusia berbanding ALLAH SWT.

“Hari ini anak-anak kita lebih diterapkan untuk takutkan mak ayah, cikgu, polis lebih daripada ALLAH.

“Akibatnya bila mereka ini tidak kelihatan, kita berasa bebas untuk melakukan maksiat atau apa sahaja,” ujar beliau.

2. Hargai ibu bapa (Surah Luqman: 14)

Pada masa sama, Dr Kamilin Jamilin mengingatkan bahawa pendidikan adab dan kasih sayang terhadap ibu bapa turut menjadi asas penting.

“Didik anak-anak untuk bertimbang rasa kepada orang tua dan ingat perasaan mereka. Alangkah luluhnya hati mereka jika sebarang perkara buruk menimpa anak mereka.

ANAK-ANAK juga perlu dilatih menjadi agen kebaikan dalam masyarakat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

ANAK-ANAK juga perlu dilatih menjadi agen kebaikan dalam masyarakat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Betapa kecewanya mereka jika kita menjadi manusia yang tidak berguna,” katanya.

Jelas beliau, anak-anak yang membesar dengan ikatan kasih sayang yang kuat dengan ibu bapa biasanya tidak mudah tersasar jauh.

“Sebagai ibu bapa, bantulah anak-anak untuk menjadi anak-anak yang baik dengan menjadi orang tua yang baik jua,” ungkapnya.

3. Ingat pembalasan ALLAH (Surah Luqman: 16)

Ketahuilah bahawa pesanan itu mengajar anak-anak untuk sentiasa berfikir sebelum bertindak.

Maka, Dr Jamilin mengingatkan agar ibu bapa berpesan kepada zuriat masing-masing bahawa setiap tindakan dilakukan oleh mereka, ada akibat baik atau buruknya.

“Ajak mereka untuk sentiasa berfikir, kalau mereka merokok atau berzina misalnya, apa keburukan yang akan menimpa seterusnya? Apa kesudahannya?

“Jika mereka terlepas daripada hukuman dunia sekalipun, adakah mereka mampu dan sanggup menghadapi kesengsaraan neraka kelak?” katanya sambil mengingatkan bahawa merasakan kehadiran ALLAH dalam diri adalah pencegahan terbaik daripada sebarang maksiat umpama rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang sentiasa ditakuti penjenayah.

4. Jaga solat (Surah Luqman: 17)

Dalam dunia yang mengejar prestasi akademik, jelas Dr Kamilin Jamilin, aspek solat sering diabaikan.

“Bahagian ini ramai yang culas sedangkan solat merupakan kunci paling utama yang menghampirkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya.

TUNJANG utama pendidikan anak adalah mendidik mereka mengenal dan mentauhidkan ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

TUNJANG utama pendidikan anak adalah mendidik mereka mengenal dan mentauhidkan ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Anak-anak tak bangun solat Subuh tidak mengapa, tetapi kalau terlewat ke sekolah, kelam-kabut kita. Sedangkan lima kali sehari, pagi, petang, siang dan malam ALLAH mengajak kita ‘ingat ALLAH’, ‘ingat ALLAH’,” ujar beliau.

Beliau optimis bahawa anak-anak yang mendisiplinkan diri dengan solat tidak akan mudah tergelincir.

“Andai anak-anak mampu untuk menjaga solat lima waktu tanpa disuruh, mengejar solat jemaah dan saf pertama, insya-ALLAH tiada apa sangat yang perlu kita khuatirkan,” jelas beliau.

5. Ajak kepada kebaikan dan cegah kemungkaran (Surah Luqman: 17)

Dr Kamilin menegaskan, anak-anak juga perlu dilatih menjadi agen kebaikan dalam masyarakat.

“Ajar anak-anak tentang tanggungjawab sosial ini. Mengapa masyarakat hari ini semakin rosak? Antaranya sebab sikap ‘jaga tepi kain masing-masing’ sehingga ramai yang hanya mendiamkan diri dengan suatu dosa berlalu di hadapannya.

“Ajarlah anak-anak untuk saling menasihati sesama rakan secara hikmah, berani untuk buat aduan dan berani dalam perkara yang benar,” titipnya.

6. Banyakkan bersabar (Surah Luqman: 17)

Menurut Dr Kamilin, hilangnya sifat sabar menjadi punca banyak gejala sosial.

“Bergaduh, berzina, merempit dan pelbagai lagi semuanya terjadi kerana tidak mampu menahan diri. Tak mampu tahan nafsu, tak sabar nak bebas, nak kegembiraan segera. Kurangnya sifat sabar menjadikan jiwa lemah,” katanya.

DIDIK anak-anak menjaga solat mereka kerana solat merupakan kunci paling utama yang menghampirkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

DIDIK anak-anak menjaga solat mereka kerana solat merupakan kunci paling utama yang menghampirkan hubungan seorang hamba dengan Tuhannya. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Bagaimana nak jadi insan yang berjaya atau yang mampu menjaga solatnya atau yang berbakti kepada orang tuanya kalau tiada sifat sabar?” soalnya.

7. Jaga adab dan akhlak (Surah Luqman: 18-19)

Ujar Dr Kamilin Jamilin lagi, nasihat terakhir Luqman menekankan kepentingan rendah diri dan sopan dalam berinteraksi.

“Jangan sombong dan jangan naik-naik suara tak bertempat. Hari ini kita terlalu fokus kepada akademik di atas kertas berbanding tarbiah adab atau pembentukan sahsiah.

“Kalau belajar subjek Pendidikan Islam atau Moral pun akhirnya lebih menjurus ke arah hafal dan skor juga tanpa penghayatan dan praktikal. Anak-anak lebih ditekan untuk fikirkan cara jawab soalan ujian berbanding memikirkan tentang orang lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar ibu bapa menanam rasa empati dalam diri anak.

“Kalau kita buang sampah merata, siapa yang akan terkena? Kalau kita bawak kereta laju-laju, siapa yang akan susah kalau kemalangan?

“Kalau kita makan tak basuh pinggan sendiri, siapa yang kena buat nanti?” katanya sambil menambah jika sifat itu tiada dalam diri anak-anak, maka kita sebenarnya sedang melahirkan generasi yang angkuh, kurang empati, mementingkan diri dan tidak memikirkan implikasi.



Source link

OR

Scroll to Top