7 Keistimewaan Hari Arafah

7 Keistimewaan Hari Arafah


Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab.
– Advertisement –

BEBERAPA hari lagi kita akan bertemu dengan hari Arafah. Hari Arafah adalah hari ke-9 bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam. Ia adalah salah satu dari 6 hari yang maklum pada bulan Zulhijah.

Hari-hari maklum yang lainnya ialah hari Tarwiyah pada 8 Zulhijah, hari Nahar 10 Zulhijah dan 3 hari Tasyriq iaitu tanggal 11,12 dan 13 Zulhijah.

Hari Arafah juga dikenali sebagai kemuncak ibadah Haji di mana jutaan jemaah berkumpul di Padang Arafah, yang terletak sekitar 20 kilometer dari Mekah.

Di sini, mereka melaksanakan wukuf di Padang Arafah untuk berdoa, berzikir, dan memohon keampunan dari Allah. Antara 7 keistimewaan hari Arafah ialah:

– Advertisement –

  1. Sebahagian daripada Rukun Haji.

Hari Arafah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada Rukun Haji. Ibadah ini juga sangat signifikan dan adalah puncak berkumpulnya seluruh jutaan jemaah Haji dari segenap pelusuk dunia.

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
“Haji adalah Arafah.”
[Riwayat al-Tirmizi (889)]

  1. Hari kesempurnaan agama.

Di Arafah inilah Rasulullah S.A.W menyampaikan Khutbah Wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, Baginda pun wafat.

Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Ma’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W:

اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
“…Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” [Al-Ma’idah: 3]

  1. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam.

Daripada Uqbah bin Amir R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
“Hari Arafah, hari korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum.” – [Riwayat Abu Daud (2419), Tirmizi (773) dan al-Nasa’ie (3004)]

  1. Hari Arafah adalah hari penyaksian.

Hari Arafah turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah SWT mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu di hadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi,” yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) mengenai (hakikat tauhid) ini.” – [Riwayat Ahmad]

  1. Kedahsyatan doa pada Hari Arafah.

Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad S.A.W mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa. Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah.” – [Riwayat al-Tirmizi (3585)]

  1. Ganjaran puasa Arafah.

Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan Haji. Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila ditanya mengenai puasa pada Hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ
“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. – [Riwayat Muslim (1162)]

  1. Hari keampunan.

Ambillah peluang untuk bertaubat dan memohon ampun sebanyak-banyaknya kerana Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka. Pada hari ini, keampunan dari Allah terbuka luas.

Daripada Aisyah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” – [Riwayat Muslim (1348)]

Selain itu, ibadah wukuf di padang Arafah simbolik dengan peristiwa di mana Nabi Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga setelah terpedaya dengan tipu daya Iblis. Mereka memohon ampun daripada Allah selama bertahun-tahun dan akhirnya berjumpa semula di Jabar Rahmah selepas 40 tahun terpisah. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top