7 pekerja World Central Kitchen maut diserang Israel


GAZA –  Tujuh pekerja pertubuhan bantuan makanan, World Central Kitchen (WCK) terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Rakyat dari Australia, Britain dan Poland adalah antara yang maut.

Pekerja itu, yang juga termasuk warga Palestin dan dua warganegara Amerika Syarikat dan Kanada, menaiki dua kereta perisai yang tertera logo WCK dan kenderaan lain.

Badan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan berkata, walaupun pihaknya menyelaraskan pergerakan dengan pertahanan Israel, konvoi itu diserang ketika ia meninggalkan gudang Deir al-Balah, selepas memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laut.

“Ini bukan sahaja serangan terhadap WCK, ini adalah serangan ke atas organisasi kemanusiaan yang muncul dalam situasi paling mengerikan, yang mana makanan digunakan sebagai senjata perang.

“Ini tidak boleh dimaafkan,” kata Erin Gore, Ketua Eksekutif WCK.

WCK, yang diasaskan oleh chef selebriti Jose Andres berkata, serangan ini menghentikan sementara operasi organisasi di rantau ini”.

Tentera Israel berkata, ia sedang melakukan semakan menyeluruh di peringkat tertinggi untuk memahami insiden tragis ini.

Andres, yang memulakan WCK pada 2010 dengan menghantar tukang masak dan makanan ke Haiti selepas gempa bumi, sebelum ini berkata, dia sedih dan berduka atas keluarga dan rakan mereka yang meninggal dunia.

“Kerajaan Israel perlu menghentikan pembunuhan tanpa pandang bulu ini.

“Ia perlu berhenti menyekat bantuan kemanusiaan, berhenti membunuh orang awam dan pekerja bantuan, dan berhenti menggunakan makanan sebagai senjata. Tiada lagi nyawa yang tidak bersalah terkorban. Keamanan bermula dengan kemanusiaan kita bersama. Ia perlu bermula sekarang,” ujarnya. – Agensi



Source link

OR

Scroll to Top