7 wanita Uganda ditahan disyaki terbabit aktiviti persundalan dicekup di Bukit Bintang

7 wanita Uganda ditahan disyaki terbabit aktiviti persundalan dicekup di Bukit Bintang


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tujuh ‘ayam’ Afrika ditahan selepas disyaki menjual tubuh kepada lelaki warga asing di sekitar Jalan Nagasari dan Jalan Changkat di sini, semalam.

Wanita terbabit ditahan menerusi Ops Noda oleh pasukan KL Strike Force membabitkan pegawai dan anggota Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua wanita warga Uganda ditahan disyaki terbabit dengan aktiviti persundalan.

“Wanita ini didapati menyasarkan pelanggan dalam kalangan lelaki warga asing yang lalu lalang di kawasan kaki lima di sekitar Jalan Nagasari dan Jalan Changkat.

“Mereka disyaki terbabit dengan aktiviti pelacuran dengan mengenakan bayaran sekitar RM150 hingga RM200 bagi setiap pelanggan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, 33 individu diperiksa sepanjang operasi bermula 11 malam hingga 4 pagi itu, membabitkan tujuh wanita Uganda, lelaki Bangladesh (sembilan), wanita Indonesia (empat), dan 12 warga tempatan.

Katanya, tujuh wanita warga asing yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 42 tahun, dan pasukan serbuan turut merampas 12 keping kondom, dua gulung tisu, dan wang tunai berjumlah RM450 dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral itu.

“Kesemua tangkapan diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah yang berkenaan.

“Dalam operasi sama, pihak DBKL mengeluarkan satu notis kompaun dan lima kes membabitkan penyitaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan (untuk kesalahan persundalan), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (untuk kesalahan tiada dokumen) dan Seksyen 20 (1)(b) Undang-undang Kecil Tred,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top