zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Tujuh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana mencuri pelbagai barangan di pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu, 20 Februari lalu.
Kesemua tertuduh berusia antara 25 hingga 45 tahun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan tidak dapat dibacakan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak kemudian menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan jurubahasa Indonesia dan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Izani Nashtasya Isa.
Kesemua tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah tidak dibenar ikat jamin.
Media sebelum ini melaporkan APMM Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia, didakwa menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu untuk mencuri.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid dilapor berkata, mereka ditahan ketika bersembunyi di ruang ventilasi pelantar berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd