70 tenaga kerja automotif bertauliah EV, Autotronics sasar peluasan latihan menjelang 2026

70 tenaga kerja automotif bertauliah EV, Autotronics sasar peluasan latihan menjelang 2026


Kuala Lumpur : Seramai 70 tenaga kerja automotif menerima pensijilan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid menerusi Program Latihan Tindak Balas Keselamatan Kenderaan Hibrid dan Elektrik (HEV-SR) anjuran Autotronics Centre of Excellence.

Ia secara tidak langsung memperkukuh tahap kemahiran dan keselamatan dalam industri automotif negara.

Menurut Pengasas dan Pengerusi Autotronics, Datuk P Sri Ganes pencapaian itu menjadi sebahagian daripada pelan strategik pusat berkenaan untuk memperluaskan kapasiti latihan EV secara berperingkat menjelang tahun depan, selari dengan keperluan industri dan hala tuju teknologi hijau negara.

“Fokus kami bukan sahaja melahirkan tenaga kerja bertauliah, tetapi membina ekosistem latihan EV yang mampan, berstandard tinggi dan berskala besar bagi menyokong pertumbuhan industri pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Pensijilan Program HEV-SR di sini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) itu melayakkan peserta memperoleh pensijilan kebangsaan SKM PPA G452-007-3:2019 bagi penyelenggaraan EV dan hibrid.

Sri Ganes berkata, inisiatif berkenaan selari dengan agenda pembangunan tenaga kerja dan transformasi industri yang digariskan kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, khususnya dalam memperkukuh ekosistem TVET berteraskan keperluan industri.

Beliau turut memaklumkan Autotronics melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti Pembuatan Semula Automotif (REMAN) yang memberi manfaat kepada 30 peserta, sebagai usaha memenuhi permintaan industri terhadap kemahiran lanjutan serta amalan automotif mampan.

“Langkah ini mengukuhkan peranan Autotronics sebagai rakan strategik dalam menyokong peralihan EV negara melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan bertauliah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top