PROGRAM Permatang Lebarun 2026 berlangsung meriah di Sawah Sempadan, Tanjong Karang dengan penyertaan lebih 700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, program berkenaan bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti setempat malah turut menyemarakkan semangat gaya hidup sihat dalam suasana penuh keceriaan Aidilfitri.
“Lebih menarik, ramai peserta tampil kreatif dengan mengenakan busana hari raya lengkap dengan solekan serta prop, sekali gus menjadikan suasana program lebih warna-warni dan meriah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, Nurul Syazwani menegaskan bahawa lokasi larian tersebut merupakan nadi kehidupan pesawah yang kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran getir.
Menurutnya, beliau tidak mahu masyarakat menutup mata terhadap realiti golongan pesawah yang semakin tertekan ekoran peningkatan kos operasi, ketidaktentuan cuaca serta isu akses bantuan dan subsidi yang adakalanya tidak sampai kepada golongan sasar.
“Sebagai pemimpin muda, saya tidak melihat program ini sebagai acara riadah semata-mata. Inilah ruang untuk saya turun padang dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
“Daripada anak muda yang mahukan peluang dan ruang, sehinggalah kepada para pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sawah untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu akan terus diperbanyakkan di DUN Permatang sebagai platform untuk mendekati rakyat secara langsung dan membawa suara mereka ke peringkat dasar.
“Pembangunan yang seimbang amat diperlukan bagi memastikan kebajikan semua kelompok, termasuk anak muda dan pesawah, sentiasa terjaga.
“Kekuatan sesuatu kawasan itu terletak pada sejauh mana kita menjaga kedua-dua kelompok ini. Saya percaya kepimpinan bukan sekadar bercakap, tetapi hadir, mendengar dan bertindak. Dari sawah inilah kita belajar erti perjuangan sebenar rakyat,” ujarnya.
Pada program tersebut, para peserta turut diraikan dengan jamuan tradisi Hari Raya seperti ketupat, mi kari, lontong dan cendol.






