razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 7,378 usahawan MARA di Kuala Lumpur dan Selangor menerima manfaat melalui pelbagai bentuk bantuan agensi itu termasuk dari segi pembiayaan, geran pembangunan perniagaan dan latihan keusahawanan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, jumlah keseluruhan daripada kemudahan ini dianggarkan mencecah lebih RM180 juta yang disalurkan sepanjang 2024 hingga 2025.
Katanya, peruntukan itu disalurkan kepada usahawan berskala kecil, sederhana, hingga berupaya memasarkan jenama serta produk ke luar negara menerusi program Gate- to-Global MARA.
“Inilah bukti bahawa MARA bukan sekadar agensi pembiayaan, tetapi pemangkin
pembentukan keusahawanan mampan.
“Serba-serbi lengkap mahupun dari aspek pembangunan usahawan, melalui pembangunan bisnes dan ditambah dengan kemudahan sokongan menerusi pembiayaan, infrastruktur perniagaan dan khidmat nasihat.
“Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan agensi-agensi di bawahnya terus memperkukuh dasar keusahawanan bagi memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera mendapat akses kepada peluang ekonomi yang inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 24 usahawan dari Kuala Lumpur dan Selangor dinobatkan sebagai penerima AURA Peringkat Negeri bagi 12 kategori yang dipertandingkan.
Rubiah berkata, pada tahun ini MARA memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA MADANI.
“Ia menjadi simbol usaha MARA mengangkat nilai dermawan serta tanggungjawab terhadap pembangunan generasi akan datang dalam dunia keusahawanan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berharap anugerah yang diterima bukan sekadar penghargaan, tetapi satu amanah untuk terus memperkasa diri, membuka peluang pekerjaan serta membantu masyarakat setempat melangkah ke hadapan.
“Anda sebenarnya lambang keberhasilan dan kejayaan keusahawanan Bumiputera yang unggul melalui ekosistem keusahawanan MARA yang lengkap,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






