8 beranak termasuk anak OKU hidup berpanas, bergelap

8 beranak termasuk anak OKU hidup berpanas, bergelap



redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketika insan lain tidur lena, suami isteri, Muhammad Zakri Saimon dan Zahrah Mohd Jamian dengan enam anak mereka terpaksa berpanas dan kegelapan, sejak lebih seminggu lalu, selepas bekalan elektrik di rumah mereka dipotong kerana tunggakan bayaran.

Paling menyedihkan apabila mereka terpaksa tinggal dalam keadaan begitu dengan anak sulung mereka, Nur Zetty Shazlily, 17, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) kerana sejenis penyakit jarang jumpa iaitu Sindrom Dravet.

Muhammad Zakri Saimon, 48, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini berkata, tunggakan itu berjumlah RM2,853.30 dan dia mempunyai masalah untuk melangsaikannya kerana mempunyai banyak komitmen bulanan.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai pengawal peribadi dan dengan gaji bulanan RM2,530, ia tidak cukup bagi melangsaikan bayaran semua komitmen serentak kerana ada lima anak masih bersekolah serta seorang menyambung pengajian peringkat diploma di sebuah universiti.

“Saya sedih kerana disebabkan tak dapat membayar tunggakan, isteri dan anak terpaksa turut sama tinggal dalam keadaan bergelap.

“Paling kasihan dengan Nur Zetty (anak sulung) kerana dia sudahlah terlantar dan kena tinggal dalam keadaan panas di rumah.

“Bukan tak ikhtiar cari duit lebih untuk bayar komitmen bulanan namun gaji memang tak cukup. Saya pun ada jual kek buatan isteri di kaki lima pada malam hari untuk cari dana buat perbelanjaan Nur Zetty.

“Tapi jualan harian tak menentu… sudah lebih seminggu juga isteri tak buat kek kerana tiada bekalan elektrik jadi macam mana nak bakar?” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Zakri berkata, masalah kewangan juga menyebabkannya tidak dapat lagi menghantar Nur Zetty yang sakit sejak berumur tiga tahun untuk ke menjalani rawatan terapi tulang belakang bengkok di sebuah pusat rawatan swasta.

Katanya, dia dan isteri masih boleh bertahan tinggal dalam keadaan berpanas, namun mereka kasihan dengan anak terutama Nur Zetty.

“Salah satu sebab bil elektrik tinggi adalah kerana kami perlu hidupkan penyaman udara mengikut keadaan.

“Ia kerana Nur Zetty tidak boleh berpanas. Dia mudah diserang sawan, malah dalam sehari, dalam dua ke tiga kali dia kena serangan itu.

“Buat masa ini, dia (Nur Zetty) bergantung dengan dua jenis ubat iaitu Clobazam dan Kepra. Doktor beritahu tulang belakangnya sudah 70 peratus bengkok dan perlu dibantu dalam semua pergerakan seperti makan, minum, duduk dan lain-lain.

“Doktor ada syorkan buat pembedahan untuk luruskan tulang belakang tapi ada risiko kerana peluang selamat 50/50 jadi itu yang buat kami sekeluarga takut.

“Jika buat pembedahan sekalipun belum ada jaminan kerana anak saya tak boleh duduk atau berjalan malah badannya pun lembik,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 514084587577 atas nama Muhammad Zakri Saimon atau menghubunginya di talian 011-19526330.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top