88 rumah rosak akibat ribut di Sungai Lui

88 rumah rosak akibat ribut di Sungai Lui


am@hmetro.com.my

Jempol: Ribut yang membawa hujan lebat pada 4.30 petang tadi menyebabkan sembilan rumah di Kampung Baru Ayer Hitam dan 79 rumah di Felda Lui Barat mengalami kerosakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Mohd Razi Mohd Ali berkata, ketika ini usaha mengenal pasti penduduk yang terkesan kejadian itu sedang dijalankan agensi berkaitan.

Katanya, dijangka akan berlaku penambahan rumah terjejas malah pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Lui Barat sedang mengenal pasti jumlah penduduk terbabit bencana berkenaan.

“Kita menjangka akan berlaku penambahan rumah yang rosak dalam ribut yang berlangsung kira-kira 15 minit itu.

“Penduduk yang terjejas sedang dibantu dan kerosakan rumah penduduk juga sedang dikenal pasti untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohd Razi berkata, buat sementara penduduk yang terjejas dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lui Barat yang dibuka pada 6.45 petang tadi.

“Jumlah sebenar mangsa yang berpindah belum dapat di pastikan berikutan ada di kalangan penduduk masih menguruskan beberapa hal berkaitan selepas ribut,” katanya.

Sementara itu Mohd Razi berkata kejadian ribut turut menyebabkan asrama SMK Lui Barat ditutup sementara atas faktor keselamatan dan pelajar diminta berulang dari rumah selama tiga hari bermula Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top