Rakam Dalam Versi Orkestra, Bintang Remaja Popular Indonesia Farel Prayoga Nyanyi Semula Lagu ‘Lemak Manis’

Rakam Dalam Versi Orkestra, Bintang Remaja Popular Indonesia Farel Prayoga Nyanyi Semula Lagu ‘Lemak Manis’


Penyanyi remaja popular dari Indonesia, Farel Prayoga, 15, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu berjudul Lemak Manis yang menandakan kemunculan rasmi dirinya pada tahun 2025 dengan imej serta pendekatan muzik yang lebih matang.

Versi rakaman semula Lemak Manis ini merupakan kerjasama pertama antara Malaysia dan Indonesia yang diterbitkan secara eksklusif oleh Indigital Music.

Sebagai penerbit, Indigital Music melihat potensi besar dalam bakat Farel dan yakin kemampuan yang dimiliki mampu mengangkat namanya sebagai bintang serantau pada masa depan.

@xtra_my Bintang remaja Indonesia, Farel Prayoga merakamkan semula lagu Lemak Manis, nyanyian asal Roslan Madun. Semakin dikenali, banyak single Farel yang popular, antaranya rakaman semula lagu Ojo Di Bandingke yang kini meraih 116 juta tontonan di YouTube! #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA

Kolaborasi ini juga dilihat sebagai strategi yang menghubungkan dua pasaran muzik, memandangkan Farel sudah pun memiliki pengikut yang besar di Indonesia dan berpotensi meraih perhatian peminat Malaysia. Gaya vokal dan lenggok semula jadinya menjadikan Lemak Manis versi baharu ini lebih serasi dengan melodi pop Melayu.

Peralihan ini menjadi detik penting buat Farel yang sebelum ini sinonim dengan lagu-lagu berbahasa Jawa, termasuk beberapa karya yang pernah tular.

“Saya gembira kerana Lemak Manis terus diterima baik sejak ia dikeluarkan beberapa bulan lalu. Ramai yang memberikan maklum balas positif untuk versi kali ini.

“Proses rakaman sebenarnya bukan mudah, banyak cabaran yang saya perlu lalui. Saya amat bersyukur kerana ramai yang membantu sepanjang pembikinan lagu ini,” katanya.

Farel yang cukup mengagumi penyanyi dan pencipta asal lagu tersebut, Roslan Madun, berharap peminat di Malaysia dapat menerima keunikan versi orkestra yang dibawakan kali ini.

Mengimbas kembali permulaan kariernya, Farel bermula sebagai penyanyi jalanan sebelum video cover seperti Tiara dan Satu Mimpi tular di platform digital, yang seterusnya membuka laluan kepada popularitinya sejak usia kecil.

Nama Farel melonjak pada tahun 2022 apabila persembahannya membawakan lagu Ojo Dibandingke di hadapan Presiden Indonesia, Jokowi, sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia menjadi perhatian seluruh dunia.

Video persembahan itu bukan sahaja meraih jutaan tontonan tetapi turut trending di peringkat global, menjadikan Farel lebih dikenali ramai.

“Itu antara momen paling manis dalam hidup saya. Tidak mudah untuk mendapat kepercayaan Presiden sendiri yang mahu melihat persembahan saya.

“Saya anggap itu rezeki besar dalam perjalanan seni saya. Saya juga berharap Lemak Manis membawa tuah yang sama di Malaysia,” ujarnya.

Sejak itu, Farel terus menjadi ikon kecil Indonesia yang menerima sokongan meluas merentas pelbagai generasi, daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.

Menurut Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohamad Rom, penerimaan awal terhadap Lemak Manis amat menggalakkan, terutama daripada peminat setia yang mengikuti perkembangan Farel dari awal termasuk keluarga, remaja serta peminat muzik serantau.

“Kita percaya kepada bakat dan potensi besar yang ada pada Farel. Usianya masih muda dan ruang untuk diteroka sangat luas. Kami berasa bangga dapat memulakan langkahnya di Malaysia.

“Ini juga bukan kerjasama terakhir. Beberapa lagu lain sudah dirancang sebagai usaha untuk membantu Farel mengembangkan pengaruh di Malaysia,” katanya.

Lemak Manis versi Farel telah dilancarkan secara rasmi pada 2 Oktober lalu di semua platform digital, manakala video muzik boleh ditonton menerusi saluran YouTube Indigital Music.





Source link

OR

Scroll to Top