MUSIM haji 1447H/2026 menyaksikan pendekatan baharu kerajaan Arab Saudi dalam menetapkan syarat ketat kepada bakal jemaah terutamanya dalam aspek kesihatan.
Peraturan yang ditetapkan ini bukan sekadar prosedur pentadbiran, tetapi langkah penting bagi memastikan keselamatan jutaan umat Islam.
Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang berbadan gempal dan obesiti mula bimbang dan mempersoalkan, apakah syarat tersebut membuatkan mereka dinafikan daripada mengerjakan haji, sedangkan sudah menunggu giliran sejak sekian lama?
Penolong Pengurus Agama di Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Dr Sabri Jamaludin menjelaskan, ibadah haji bukan sekadar perjalanan rohani, bahkan ia turut menuntut kesiapsiagaan fizikal dan mental.
DR SABRI JAMALUDIN
“Kita bertuah kerana kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dan Lembaga Tabung Haji (TH) turut memperkemaskan proses saringan.
“Ia dibuat agar setiap jemaah yang dipilih benar-benar memenuhi tuntutan istito’ah iaitu kemampuan menyempurnakan haji tanpa memudaratkan diri atau membebankan orang lain,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
Ujarnya, langkah kerajaan Arab Saudi mengetatkan syarat kesihatan tersebut dilihat wajar demi keselamatan nyawa jemaah haji itu sendiri.
“Data kesihatan jemaah haji pada 2023 dan 2024 menunjukkan, serangan jantung, strok haba dan komplikasi penyakit kronik antara punca utama kecemasan serta kematian dalam kalangan jemaah.
“Majoriti kes berlaku akibat faktor risiko yang tidak dikawal sebelum berangkat termasuk obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes.
“Oleh itu, syarat ketat seperti kawalan penyakit kronik, stabiliti fizikal dan keperluan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh itu wajar bagi mengurangkan risiko tragedi, lebih-lebih lagi ketika puncak haji.
“Langkah ini bukan untuk mempersulitkan ibadah, sebaliknya melindungi nyawa, memelihara kesihatan dan memastikan manasik (pelaksanaan) haji dibuat dengan sempurna,” hurainya.
Tambahnya, ia selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa (hifz an-nafs) dan menjaga kesempurnaan ibadah (hifz ad-din).

BERTINDAK segera dalam menjaga kesihatan bermula sekarang sebelum panggilan haji tiba. Foto Canva
Menunaikan haji dalam keadaan tubuh yang lemah, penyakit tidak terkawal atau risiko tinggi bukan sahaja membahayakan diri, bahkan boleh mengganggu kelancaran operasi haji.
Risiko yang perlu dikurangkan
Menyambung hujahnya, Dr Mohd Sabri menjelaskan, walaupun obesiti bukan penghalang mutlak kepada haji, namun ia merupakan antara faktor risiko yang paling kerap menjejaskan prestasi fizikal jemaah.
Ujarnya, berat badan yang berlebihan menyebabkan timbul pelbagai situasi, antaranya:
1 – Degupan jantung cepat.
2 – Ketahanan rendah semasa berjalan jauh.
3 – Risiko strok haba meningkat.
4 – Komplikasi diabetes dan tekanan darah tinggi.
Sehubungan itu katanya, umat Islam digalakkan memulakan langkah awal seperti mengawal pemakanan, melakukan senaman secara berkala dan berjumpa doktor untuk stabilkan penyakit kronik.
“Selain persediaan haji, amalan ini juga sebagai tanda syukur dan amanah kita dalam menjaga tubuh sebagai anugerah ALLAH SWT,” ujarnya.
Sambungnya, walaupun golongan obesiti mungkin dilihat sukar untuk melepasi syarat kesihatan, namun mereka masih mampu menunaikan haji jika mereka berusaha keras dan rela berkorban.
“Islam tidak membebani penganutnya melebihi kemampuan berdasarkan ayat ke-286 surah al-Baqarah, namun setiap cabaran boleh diatasi dengan usaha dan kesungguhan,” ujarnya.
Bagi mereka yang menghadapi isu obesiti, beliau menyarankan agar menurunkan berat badan secara konsisten, mengawal penyakit kronik, mengikuti nasihat doktor dan disiplin menjaga pemakanan serta gaya hidup.
Beliau mengingatkan bahawa ibadah haji memerlukan ketahanan fizikal, kekuatan mental dan kesihatan tubuh yang baik.

JEMAAH perlu sihat dan cergas dalam melaksanakan ibadah haji. Foto Canva
“Syarat kesihatan ketat bukanlah halangan, tetapi ia satu bentuk penjagaan dan rahmat ALLAH SWT agar umat islam dapat melaksanakan ibadah dengan selamat.
“Istito’ah bukan hanya soal kewangan, tetapi ia memerlukan persediaan menyeluruh yang merangkumi tubuh, jiwa dan keupayaan mengahapi cabaran dalam melaksanakan ibadah.
“Dengan disiplin, usaha dan persediaan awal, setiap Muslim berpeluang menunaikan haji dalam keadaan terbaik, demi meraih haji yang mabrur serta pulang ke tanah air dalam keadaan lebih sihat dan lebih dekat dengan ALLAH SWT,” jelasnya.
Mengapa haji memerlukan tubuh yang kuat dan sihat?
Haji merupakan ibadah fizikal yang sangat intensif. Antara cabarannya:
– Tawaf tujuh pusingan mengelilingi Kaabah.
– Sa’i sejauh 3.5 kilometer.
– Perjalanan panjang ke Arafah.
– Bermalam di Muzdalifah.
– Tinggal di Mina yang padat.
– Melontar jamrah dalam kesesakan.
– Suhu boleh melebihi 40 darjah Celcius.
Amalan pemakanan sunnah: Rahsia stamina jemaah haji
Rasulullah SAW mengajarkan umatnya dalam mengekalkan keseimbangan makanan iaitu satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk bernafas.
Prinsip ini sangat relevan untuk bakal jemaah:
– Tubuh lebih ringan dan cergas.
– Tidak cepat mengantuk atau lesu.
– Elak dehidrasi dan masalah penghadaman.
– Mengurangkan risiko serangan jantung atau strok haba.
Ringkasan AI
- Musim haji 1447H/2026 menyaksikan kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat ketat terutamanya dalam aspek kesihatan demi keselamatan jemaah Syarat kesihatan yang ketat ini bertujuan untuk memastikan jemaah mempunyai istito’ah iaitu kemampuan menyempurnakan haji tanpa memudaratkan diri atau membebankan orang lain Data kesihatan jemaah haji pada 2023 dan 2024 menunjukkan serangan jantung, strok haba dan komplikasi penyakit kronik sebagai punca utama kecemasan serta kematian dalam kalangan jemaah Langkah kerajaan Arab Saudi dianggap wajar dan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah untuk memelihara nyawa dan menjaga kesempurnaan ibadah Syarat kesihatan ketat merupakan langkah penjagaan dan rahmat agar umat Islam dapat melaksanakan ibadah haji dengan selamat dan meraih haji yang mabrur






