Gamel kecewa Selangor jadi mangsa keputusan kontroversi pengadil

Gamel kecewa Selangor jadi mangsa keputusan kontroversi pengadil


Selangor terpaksa akur gagal ke final Piala FA selepas tewas kepada Sabah. FOTO: MFL

PENGENDALI Selangor FC, Christophe Gamel tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap mutu pengadilan selepas skuad kendaliannya tersingkir di peringkat separuh akhir Piala FA di tangan Sabah FC, pada Ahad.

Dalam aksi timbal balik yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, skuad Gergasi Merah terpaksa berputih mata apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti.

Meskipun memuji semangat juang anak buahnya, Gamel mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan keputusan pengadil sepanjang perlawanan berlangsung.

“Tiada penyesalan daripada para pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya. Namun sejujurnya, ini kali pertama saya berada dalam perlawanan sebegini dan saya merasakan kami banyak ‘ditipu’.

“Tetapi kami terpaksa akur dengan keadaan. Tahniah kepada Sabah dan syabas kepada semua pemain saya. Dalam penentuan penalti, ia sentiasa ibarat melambung syiling,” katanya.

Drama penuh debaran mewarnai aksi kedua itu apabila Red Giants tiga kali berada di depan, namun tetap gagal meraih kemenangan apabila dihambat Sabah.

Aksi bertambah getir apabila jaringan lewat perlawanan mereka dibatalkan kerana ofsaid, terpaksa bermain dengan 10 pemain susulan Mamadou Diarra dilayangkan kad merah sebelum lawan dihadiahkan sepakan penalti kontroversi pada minit ke-87 yang mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Perlawanan berakhir 3-3, sekali gus menyaksikan agregat terikat 5-5 dan memaksa saingan ditentukan melalui penentuan sepakan penalti dan Red Giants akhirnya tunduk 5-4.

Mengulas lanjut mengenai prestasi pasukan, Gamel mengakui sedikit terkilan dengan prestasi kurang konsisten benteng pertahanan yang membenarkan lawan bangkit setiap kali Selangor mendahului.

Namun, fokus utamanya kekal terarah kepada beberapa keputusan pengadil yang disifatkannya sebagai berat sebelah dan merencatkan peluang pasukannya ke final.

“Perlawanan ini seolah-olah bukan untuk kami dari awal lagi. Saya tidak faham sesetengah pilihan keputusan yang dibuat oleh pengadil.

“Bagi saya, sukar diterima mengapa ia hanya memihak kepada satu pasukan sepanjang perlawanan.

“Malah, ada situasi penalti yang jelas tiada kesalahan di pihak kami, namun akhirnya kami yang menanggung akibat daripada keputusan sebegini,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Selangor FC, Christophe Gamel kecewa dengan mutu pengadilan selepas tersingkir dari Piala FA
  • Skuad Gergasi Merah tewas menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Sabah FC
  • Gamel mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan keputusan pengadil
  • Perlawanan berakhir dengan agregat 5-5, namun Selangor tunduk 5-4 melalui penentuan penalti
  • Gamel kritik prestasi kurang konsisten pertahanan dan keputusan pengadil yang berat sebelah



Source link

OR

Scroll to Top