Pemuda BN tidak setuju sertai GRS bentuk kerajaan Sabah

Pemuda BN tidak setuju sertai GRS bentuk kerajaan Sabah


am@hmetro.com.my

Melaka: Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju dengan cadangan supaya gabungan parti itu menyertai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas hanya memenangi enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, Sabtu lalu.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, sebaliknya berkata, parti itu perlu menjadi pembangkang yang konstruktif di Sabah bersama parti Warisan dan Perikatan Nasional (PN) serta membawa suara rakyat terus ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, kedudukan sebagai pembangkang bukan alasan untuk menyurutkan perjuangan, sebaliknya menjadi ruang untuk melakukan introspeksi dan pembaharuan parti.

“BN, Warisan dan PN kekal di kerusi pembangkang dan peranan kita adalah menjadi pembangkang yang kuat, membawa isu rakyat dan mengimbangi segala tindakan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Dr Muhamad Akmal turut menegaskan rakyat memerlukan pembangkang yang mampu merubah dan memperbaiki kelemahan demi memastikan keyakinan terhadap parti dapat dipulihkan.

“Kita terima kekalahan secara bermaruah dan kita perbaiki kelemahan kita. Hanya dengan itu rakyat boleh yakin semula dengan kita, sekali gus membolehkan BN kembali di hati rakyat,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan kejayaan memperkukuh peranan pembangkang di Sabah boleh menjadi contoh perubahan lebih besar di peringkat nasional.

“Jika itu boleh berlaku di Sabah, ia juga boleh berlaku di peringkat Pusat. Dengar suara rakyat, insya-Allah rakyat kembali percaya kepada kita,” katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, BN hanya mampu meraih enam kerusi iaitu di DUN Sook, Lamag, Sukau, Kunak, Liawan dan Bengkoka.

Hari ini, BN menyerahkan senarai calon untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet baharu Sabah.

Ahmad Zahid mengesahkan perkara itu dan berkata kerajaan negeri sudah meminta parti pendukung mengemukakan calon masing-masing untuk pertimbangan pelantikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top