Tiada keadilan! FIFPro pertahan tujuh pemain warisan yang digantung

Tiada keadilan! FIFPro pertahan tujuh pemain warisan yang digantung


KESATUAN pemain bola sepak global, FIFPro mengecam keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menjatuhkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain terbabit dalam skandal pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FIFPro menyifatkan hukuman itu “terlalu keterlaluan” dan menegaskan para pemain sebenarnya menjadi mangsa kegagalan pentadbiran, bukannya melakukan sebarang kesalahan.

Menurutnya, penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak yang dikenakan ke atas pemain berkenaan terlalu berat memandangkan keadaan sebenar kes tersebut.

“Jelas bahawa para pemain sebenarnya menjadi mangsa dalam hal ini. Keputusan itu sendiri mengesahkan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen untuk memperoleh kelayakan, malah mengakui dokumen yang mereka serahkan adalah tulen.

“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, jelas bahawa sebarang dokumen palsu yang timbul bukan hasil tindakan individu.

“Pemain juga tidak mempunyai saluran untuk mendapatkan pengesahan mengikat daripada FIFA mengenai kelayakan mereka, satu prosedur yang tidak pun diwajibkan mengikut peraturan semasa,” kata FIFPro dalam kenyataan.

FIFPro turut menyatakan kebimbangan apabila pemain dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar oleh sebuah persatuan kebangsaan kepada FIFA, seolah-olah mereka perlu mengesahkan sendiri dokumen yang bukan mereka keluarkan atau serahkan.

Tambah kenyataan itu lagi, para pemain telah mengikut semua prosedur ditetapkan iaitu menyerahkan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, melengkapkan proses angkat sumpah, memperoleh pasport yang dikeluarkan kerajaan dan menunggu pengesahan kelayakan daripada FAM.

“Semua langkah tersebut dikendalikan oleh institusi di luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab masing-masing dan akibat serius yang menyusul sedangkan mereka tidak bersalah.

“FIFPro menyatakan sokongan penuh kepada para pemain dan percaya Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membatalkan ketidakadilan ini,” ujarnnya.

Pada 18 November lalu, FIFA menerbitkan dokumen alasan penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan terhadap kes pemain warisan Malaysia, yang mendedahkan pegawai pentadbiran FAM dikenal pasti sebagai pihak yang mengubah dan memalsukan dokumen kelahiran tujuh pemain terbabit.

FIFA mendedahkan, FAM telah mengakui bahawa salinan sijil kelahiran yang dihantar ke FIFA adalah dokumen yang dipalsukan termasuk perubahan pada lokasi kelahiran datuk dan nenek pemain untuk mewujudkan hubungan keturunan dengan Malaysia.

Sehubungan itu, FIFA menegaskan, integriti pertandingan antarabangsa terjejas akibat tindakan tersebut.

Sebagai rekod, tujuh pemain yang digantung itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Selain penggantungan 12 bulan, mereka turut dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,411), manakala FAM pula dikenakan denda 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta).

Ringkasan AI

  • FIFPro mengecam keputusan FIFA yang menggantung tujuh pemain akibat skandal pemain warisan FAM
  • Hukuman itu disifatkan “terlalu keterlaluan” dan pemain dianggap mangsa kegagalan pentadbiran
  • Penggantungan 12 bulan bagi pemain terlalu berat kerana mereka tidak memalsukan dokumen
  • Pemain mengikut prosedur yang ditetapkan tetapi masih berdepan penggantungan
  • FIFA mengenal pasti pegawai FAM sebagai yang mengubah dokumen kelahiran pemain



Source link

OR

Scroll to Top