PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman mengingatkan masyarakat agar lebih cermat menggunakan media sosial dan tidak menjadikan platform itu sebagai medan untuk membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.
Menurut Amira atau Nadia Amira Othman, 32, perasaan hasad terhadap kebahagiaan orang lain hanya akan memudaratkan diri, sedangkan sikap meraikan kegembiraan orang lain lebih membawa ketenangan.
“Dunia ini tempat ujian, satu perjalanan panjang untuk kita semua. Media sosial ada baik dan buruknya. Yang baik kita ambil untuk sebarkan kebaikan, tetapi jika digunakan untuk membandingkan kehidupan kita dengan orang lain, itu tidak sihat.
“Kalau kita tengok orang lain bahagia, kita kena tumpang bahagia. Bersyukur, sebab kita tahu setiap kali seseorang diberi ujian, pasti ada nikmatnya. Begitu juga dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu video yang tular ketika menjadi panel jemputan pada program Karnival Al Falah Madani di Permatang Pauh, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hati-Hati itu turut menekankan pentingnya memupuk rasa syukur setiap hari, walaupun atas nikmat kecil yang sering terlepas pandang.
“Saya nak pesan pada diri sendiri juga, sentiasalah bersyukur walaupun atas perkara paling kecil seperti nikmat bernafas. Atau ketika kita teringat, alhamdulillah dapat makan pagi tadi, dapat bangun Subuh, dapat hubungi ibu ayah—sedangkan orang lain kita tak tahu apa pula ujiannya.
“Jangan risau berlebihan kerana dunia ini tempat ujian, dan setiap ujian pasti ada hikmahnya,” ujarnya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang memuji kelembutan penyampaian Amira serta ketenangan personalitinya.
“Subhanallah, tersusunnya ayat dan lembut sahaja cara bercakap,” tulis seorang pengguna.
“Semoga Amira terus menjadi contoh kepada ramai dan dijauhi segala keburukan,” tulis satu lagi komen.
“Suka tengok cara dia bercakap, wajah pun nampak tenang,” ujar seorang peminat.





