Pelakon Julia Farhana mendedahkan mula menceburi bidang baharu dengan mencuba nasib dalam sektor perladangan dan perniagaan agrikultur selepas berjinak-jinak dalam bidang penerbitan.
Ceburi bidang bisnes

Pemilik nama Julia Farhana Marin itu berkata pertaniannya bermula dengan hanya mempunyai lima ekar (dua hektar) tanah pada 2019, kini dirinya mengusahakan kira-kira 30 ekar (12 hektar) ladang di sebuah kawasan di Pahang.
Kejayaan itu menjadi bukti bahawa minat dalam sektor pertanian bukan sekadar angan-angan kosong melainkan ia dapat membuahkan hasil.
“Sebenarnya dah lama saya buat ladang, bermula dengan cili kira-kira enam tahun lalu. Selepas itu, tanam timun dan buah-buahan termasuk markisa dan limau sehingga terhasilkan bisnes jus dengan rakan perniagaan saya.
“Dari remaja lagi saya rancang buka ladang sebab berminat dengan dunia pertanian. Saya buat kajian, tiba-tiba sistem fertigasi automatik jadi popular.
“Sebelum ini kira-kira 10 ke 15 tahun saya takut nak buat secara manual. Tak cukup pekerja, kos naik jadi saya tangguhkan dahulu hasrat.
“Bila sudah ada sistem fertigasi automatik, boleh kawal air atau jumlah bahan kimia melalui telefon bimbit, saya jadi yakin nak buat,” kata Julia.
Dalam pada itu, dia mengakui dunia perniagaan bukan sesuatu yang mudah dan sering diuji dengan pelbagai dugaan sehingga mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

“Sekitar lima tahun lalu, ‘batch’ pertama kira-kira 6,000 pokok mati. Rugi sekitar RM50,000 hingga RM60,000.
“Permulaan pun dah teruk, jadi saya nekad cari guru.Saya jumpa rakan perniagaan saya sekarang, dia beri tunjuk ajar.
“Bila dah ada sifu, berani nak buat lagi. Alhamdulillah, sampai hari ini cili dan timun hidup subur, dah tak muat dalam peti di ladang,” kongsinya.
Pelakon filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu memberitahu jiwanya lebih dekat dengan tanah dan tanaman berbeza dengan wanita lain yang gemar dunia solekan mahupun fesyen.

“Saya memang suka alam tapi tak ada bakat dalam berkebun. Namun, saya masih nak buat bisnes untuk lebih stabil.
“Saya tak minat produk penjagaan kulit atau bisnes yang selalunya perempuan cenderung buat macam baju dan tudung. Saya pernah cuba tengok fabrik tapi terlalu banyak, tak suka. Paling dekat di hati dunia pertanian.
“Sekarang saya sedang mengkaji tanaman mangga dan durian. Mahu kembangkan lagi selain fokus menghasilkan jus,” terangnya.
Sehubungan itu, Julia meluahkan rasa syukur kerana diberikan suami seperti Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum yang memahami minatnya sekali gus menjadi tulang belakang dan sokongan paling setia.

Artikel lain: Julia Farhana syukur miliki suami terbaik, tetap kuat meski sering difitnah
“Suami okey, alhamdulillah. Dia pun sibuk juga dan tak kisah saya pun sibuk sebab banyak benda dia tengah usahakan.
“Kami faham karier satu sama lain dan selalu cari masa untuk bersama. Selepas beberapa bulan sibuk, kami akan pergi bercuti sekejap.
“Tak perlu pergi jauh pun, kadang-kadang ke tempat dekat asalkan dapat luangkan masa bersama,” tambahnya lagi.
Sumber: HibGlam (Nur Al-Fairuza Syarfa Saidi Nor Saidi)






