London: Arne Slot enggan mengesahkan sama ada Mohamed Salah akan kembali tersenarai dalam kesebelasan utama Liverpool bagi perlawanan Liga Perdana (EPL) menentang Sunderland di Anfield pada awal pagi Khamis selepas bintang Mesir itu diletakkan di bangku simpanan ketika kemenangan 2-0 ke atas West Ham United, kelmarin.
Salah yang berada di tangga keempat senarai penjaring terbanyak EPL sepanjang zaman, dijangka berlepas ke Piala Negara-Negara Afrika pada 15 Disember.
“Itu reaksi biasa daripada pemain yang cukup bagus untuk bermain bagi kita (untuk berasa kecewa),” kata Slot kepada wartawan hari ini. “Dia sudah begitu luar biasa untuk kelab ini selama bertahun-tahun dan akan terus begitu.
“Dia bukan satu-satunya yang tidak gembira kerana tidak bermula. Cara dia bertindak adalah seperti yang anda jangka daripada seorang profesional. Bagi Mo, dia sangat berdisiplin dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk kekal cergas.”
Perlawanan terakhir Salah sebelum kejohanan Afrika dijangka menentang Brighton pada 13 Disember, dan jika Mesir mara ke final, beliau berkemungkinan terlepas tujuh perlawanan Liverpool.
Juara bertahan itu berada di tangga kelapan dengan 21 mata, sembilan mata di belakang pendahulu Arsenal, selepas tempoh 12 perlawanan terburuk mereka dalam semua kejohanan sejak lebih 70 tahun.
Skuad Slot tewas dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri, namun Sunderland yang berada di tempat keenam dengan 22 mata, tidak pernah menang di Anfield sejak 1983.
Berita positif untuk Slot ialah prestasi pemain termahal kelab, Alexander Isak, yang menjaringkan gol EPL pertamanya dalam lapan perlawanan bersama pasukan baharunya menentang West Ham.
Florian Wirtz juga kembali selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan, manakala Joe Gomez membuat penampilan kesebelasan utama EPL pertamanya dalam 11 bulan.
Sunderland merupakan perlawanan pertama daripada tiga aksi dalam tempoh enam hari bagi Liverpool, termasuk aksi Liga Juara-Juara di Inter Milan pada Rabu depan.
“Ia sangat menggalakkan melihat Florian bermain begitu baik, bukan kali pertama dia beraksi cemerlang untuk kami. Alex pun sama,” kata Slot.
“(Isak) beritahu saya semalam dia sudah mula rasa sedikit cramp, jadi kita tengok bagaimana dia berlatih hari ini.
“Saya fikir (Isak, Wirtz dan Gomez) memang tidak mampu bermain tiga kali 90 minit dalam seminggu, itu pasti. Tetapi ketiga-tiga mereka boleh diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan selagi tidak mengalami kecederaan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd






