Graduan perubatan spontan bantu warga emas rebah

Graduan perubatan spontan bantu warga emas rebah


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Manjung: “Apa yang saya lakukan itu adalah reaksi spontan ketika itu dan bantu kerana tak sampai hati lihat aunty (panggilan) berkenaan memandangkan dia pun sudah berumur.

“Tengok aunty itu buat saya teringat arwah ayah (Abu Bakar Jalaludin) yang meninggal dunia akibat COVID-19 waktu tahun kedua pengajian akibat Covid-19.”

Itu reaksi Dr Muhamamd Husni Abu Bakar, 25, ketika menceritakan pengalamannya membantu warga emas wanita berusia lingkungan 80 an yang rebah di luar Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Menurut Dr Muhammad Husni, insiden mencemaskan itu berlaku ketika dia bergambar kenangan dengan rakan di luar dewan berkenaan selepas menerima Ijazah Doktor Perubatan sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-49 yang berlangsung kelmarin.

“Waktu bergambar, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari kawasan berhampiran.

“Kemudian, saya terus pergi ke situ dan sebaik tiba, saya nampak wanita itu sudah terbaring tapi matanya terbuka.

“Mulanya, saya fikir kena strok haba sebab cuaca panas dan terus minta orang yang berkerumun ke tepi untuk beri ruang,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Muhammad Husni berkata, dia kemudian memeriksa nadi wanita berkenaan dan mendapatinya dalam keadaan lemah.

“Saya tak beri bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebab tengok dia masih bernafas kerana nampak ada pergerakan pada dadanya.

“Tapi saya ada bantu kipaskan dan sempat tanya ahli keluarga mengenai keadaan kesihatan aunty itu.

“Mereka beritahu aunty itu ada masalah jantung dan tak lama selepas itu, ahli keluarga bawa aunty berkenaan ke Hospital Serdang kerana paling dekat. Mereka sempat ucap terima kasih sebelum beredar,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia sekadar membantu setakat yang termampu dan tidak menyangka kisahnya mendapat perhatian warganet selepas dikongsikan di media sosial UPM.

“Saya pun agak sibuk hari ini kerana menjalani latihan perubatan (houseman) di Hospital Seri Manjung.

“Tapi dapat banyak kiriman mesej daripada kawan mengenai apa yang tular dan terima kasih kepada yang beri kata positif,” katanya yang merancang menyambung lagi pengajian di peringkat Sarjana di UPM.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top