LUMUT: Seorang penganggur yang disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang lelaki warga emas di Kampung Koh, Manjung Sabtu lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Perintah tahanan reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid dalam prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret Manjung hari ini.
Reman yang dikenakan terhadap suspek berusia 49 tahun itu membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.45 pagi sebelum dibawa keluar dari kamar mahkamah pada pukul 9.30 pagi sebaik sahaja prosedur reman selesai.
Difahamkan, suspek yang mempunyai 38 rekod kesalahan lampau bersabit kes narkotik dan jenayah itu diberkas polis di Jalan Pinang Raja, Seri Manjung, semalam.
Menerusi laporan media Ahad lalu, seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di ruang tamu rumahnya di Kampung Koh, Sabtu lalu.
Mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh ahli keluarganya pada pukul 12 tengah hari.
Pemeriksaan pasukan polis di lokasi kejadian menemui sebatang cangkul yang dipercayai digunakan suspek sebagai senjata dalam insiden tersebut.
Berdasarkan hasil bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, punca kematian lelaki itu disebabkan oleh kecederaan tumpul dan tajam yang serius pada bahagian kepala. – UTUSAN






