suzalina@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 10,214 warden dilantik Kementerian Pendidikan (KPM) di sekolah berasrama sehingga September lalu yang terdiri dalam kalangan guru dan bukan guru.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia membabitkan 9,428 dalam kalangan guru dan bakinya, 786 pula terdiri daripada bukan guru.
Beliau berkata, KPM bagaimanapun perlu meneliti secara menyeluruh untuk mewujudkan posisi warden sebagai jawatan khusus kerana ia membabitkan struktur perjawatan baharu.
“Cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sebagai jawatan khusus memerlukan penelitian menyeluruh kerana ia membabitkan struktur perjawatan baharu dan bergantung kepada pertimbangan agensi pusat.
“Buat masa ini, pendekatan KPM adalah menekankan peranan warden bersifat ‘in loco parentis’ iaitu guru bertindak dan memainkan peranan sebagai ibu bapa di asrama sekolah.
“KPM berpandangan pendekatan itu masih relevan dan sesuai dengan keperluan semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada KPM bercadang untuk melantik atau memperluaskan peranan pembantu pengurusan murid yang mungkin juga boleh berperanan sebagai warden asrama.
Pada masa sama, Kah Woh berkata, KPM juga akan melantik 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa dalam kalanganMalaysia Short-Term Employment Program (MySTEP) di sekolah berasrama seluruh negara.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebahagian usaha KPM untuk meningkatkan aspek keselamatan di sekolah berasrama dan meringankan beban tugas warden asrama.
“Bagi mengurangkan beban tugas guru yang bertanggungjawab sebagai warden pada masa yang sama, pada tahun 2019 KPM memperluaskan pelantikan warden kepada kakitangan bukan guru Gred 1 dan ke atas,” katanya.
Beliau berkata, konsep ‘in loco parentis’ menekankan tanggungjawab warden untuk menjaga kebajikan, keselamatan, pendidikan dan disiplin murid, serta membimbing mereka dalam pembentukan sahsiah dan nilai murni.
Katanya, pelantikan guru juga meningkatkan kepercayaan dan keyakinan murid dan ibu bapa terhadap pengurusan asrama sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






