SEKOLAH Kebangsaan (SK) Ulu Yam Bharu dan SK Serdang akan berentap menentukan juara baharu Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 (B-12) tahun di padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam, pada Sabtu ini.
SK Ulu Yam Bharu dari Batang Kali melangkah ke pentas final selepas menewaskan SK Sungai Lang, Banting, 1-0 dalam perlawanan separuh akhir di padang SK Putra Heights 2 pada Rabu.
Ulu Yam Bharu mara ke separuh akhir selepas mengejutkan penyandang juara SK Seksyen 20, Shah Alam, 4-1 di padang SK Sungai Lang menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Sungai Lang pula mara selepas menyingkirkan cabaran SK Seksyen 9, Shah Alam, 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan di venue sama.
Sementara itu, SK Serdang, Serdang pula melangkah ke pentas perlawanan akhir selepas menyingkirkan cabaran finalis musim lalu, SK Seri Pristana,Sungai Buloh, 1-0 dalam satu lagi aksi empat terbaik di venue sama.
Serdang sebelum itu menewaskan SK TUDM Subang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 sepenuh masa permainan di padang SK Sungai Lang.
Seri Pristana yang juga naib juara Piala Sumbangsih pula mengatasi SK Kebun Baharu, 1-0 juga di di padang SK Sungai Lang.
Sebagai rekod, edisi kali ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah rendah dari seluruh Selangor yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terbaik, diikuti suku akhir, separuh akhir, dan perlawanan akhir.
Kejohanan berprestij ini mendapat tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, manakala Sinar Harian bertindak selaku media rasmi.
Juara bakal membawa pulang RM5,000, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000, manakala pasukan keempat menerima RM2,000 beserta trofi dan pingat.
Ringkasan AI
- SK Ulu Yam Bharu dan SK Serdang akan berentap dalam final Piala Raja Muda Selangor B-12 di Shah Alam, Sabtu ini
- Ulu Yam Bharu mara ke final dengan mengalahkan SK Sungai Lang 1-0 manakala Serdang ke final setelah menyingkirkan SK Seri Pristana dengan skor 1-0
- Kejohanan ini menampilkan 32 pasukan sekolah rendah se-Selangor
- Juara akan membawa pulang RM5,000, naib juara RM4,000, tempat ketiga RM3,000, dan pasukan keempat RM2,000






