Datuk Seri Bung Moktar Radin bukan sekadar nama besar dalam politik Sabah, tetapi figura ikonik yang membina legasi lebih empat dekad sehingga dikenali di seluruh negara.
Bung Moktar ahli politik lantang yang disanjung penyokong
Memetik laporan daripada NST, kelantangan dan ketegasannya menjadikan beliau disanjung penyokong, namun pada masa sama mencetuskan pelbagai reaksi daripada pihak lawan dan ia merupakan sesuatu yang sudah sinonim dengan perjalanan politiknya sejak sekian lama.

Bung Moktar terdedah dengan politik sejak kecil
Berasal dari Kampung Bilit, Kinabatangan dan lahir pada 14 September 1959, Bung Moktar mula terdedah kepada politik sejak kecil apabila keluarganya merupakan penyokong kuat United Sabah Organisation (Usno).
Penglibatannya menjadi lebih serius pada 1979 apabila dilantik sebagai Ketua Pemuda Usno Kinabatangan.
Tahun 1991 menjadi titik perubahan besar apabila beliau menyertai UMNO dan seterusnya memimpin sayap Pemuda di Kinabatangan.

Dari situ, kerjayanya terus melonjak sehingga diberi kepercayaan menjadi Ketua Penerangan UMNO Sabah dan kemudiannya Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional.
Sebelum bergelar Ahli Parlimen, Bung Moktar turut berkhidmat dalam beberapa jawatan penting termasuk pegawai pentadbiran JASA Sandakan, setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Sabah serta mengetuai pelbagai agensi dan portfolio kerajaan negeri seperti Felcra dan Kementerian Kerja Raya Sabah ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri I.
Tinggalkan 40 tahun legasi politik
Walaupun tewas pada penampilan pertama dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1994, beliau bangkit meraih kemenangan Parlimen Kinabatangan pada 1999, sebelum mempertahankannya berturut-turut dalam PRU 2004, 2008, 2013 dan 2018.
Pada PRU15, beliau sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi itu dengan 16,842 undi.

Pertarungan terakhirnya dalam arena politik adalah pada PRN Sabah ke-17 yang berakhir pada 29 November lalu.
Dalam saingan enam penjuru di Lamag, beliau tetap berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti tipis 153 undi dan kemenangan tersebut kini menjadi penutup perjalanan panjang kariernya.

Artikel lain: “Selama 16 tahun saya melihat kebaikannya…”- Zizie Izette mohon doa kesihatan Bung Moktar
Legasi Bung Moktar sebagai antara tokoh paling berpengaruh di Sabah pastinya terus dikenang, terutama oleh mereka yang mengikuti perjalanan politiknya sejak awal hingga ke penghujungnya.
Sumber: NST






