18 warga asing tidak mengaku terlibat dalam sindiket penipuan ‘online’

18 warga asing tidak mengaku terlibat dalam sindiket penipuan ‘online’


BUKIT MERTAJAM : Seramai 18 warga asing yang terdiri daripada 14 warga Jepun dan empat warga China mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan penipuan dalam talian atau ‘online’, bulan lepas.

Kesemua tertuduh iaitu Chen Zigui, 30; Liang Chengfu, 37; Hama Takuya, 35; Tsutsui Shoichi, 42; Kono Kiyoshi, 51; Yamao Yuta, 27; Kishi Kosuke, 26; Ryo Nomita, 34; Chen Yien, 34; Ohak Koki, 35; Motokawa Yuya, 30; Takumi Nakano, 26; Matsumoto Satoshi, 44; Inanobe Yuya, 24; Lin Ping, 42; Hashimoto Takuya, 34; Minamihata Naoto, 37 dan Yuina Miki, 25 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersekongkol menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan di sebuah rumah di Taman Bukit Juru, Bukit Tengah, antara pukul 12 hingga 12.10 tengah hari pada 20 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan mencadangkan agar jaminan RM10,000 diberi kepada setiap tertuduh serta mahu pasport mereka diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai, namun, peguam, A. Mahesh yang mewakili semua tertuduh pula mahu jaminan lebih rendah dikenakan atas alasan rata-rata anak guamnya berpendapatan rendah serta perlu menyara keluarga di negara asal.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan, selain mahu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah. Kes dijangka disebut semula pada 3 Februari depan untuk tujuan serahan dokumen.

Difahamkan, kesemua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci, pemandu, pekerja kedai makan dan tukang cat bagaimanapun membayar wang jaminan tersebut.

Sindiket penipuan dalam talian itu terbongkar apabila polis Pulau Pinang berjaya menyerbu dua buah banglo di kawasan Simpang Ampat pada 20 November lalu sebelum menahan kesemua 18 suspek yang dipercayai menjadikan mangsa yang tinggal di Jepun sebagai sasaran utama mereka.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, meskipun kesemua suspek terbabit hanya bertugas sebagai operator, namun, rata-rata mereka menerima bayaran gaji yang agak lumayan iaitu antara RM5,000 hingga ke RM8,000 sebulan.





Source link

OR

Scroll to Top