olivia@nst.com.my
Kota Kinabalu: Kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha takut untuk pergi ke tempat awam selepas insiden membabitkan Allahyarham Zara Qarina Mahathir pada 17 Julai lalu.
Bekas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu, Asnie Marjan, memberi keterangan bahawa guru dan kakitangan sudah diserang oleh netizen di media sosial.
“Ya, netizen membuat tuduhan liar, fitnah dan tidak berasas terhadap guru-guru.
“Ramai guru memadam akaun Facebook masing-masing. Ada yang takut untuk ke pusat beli-belah, kedai dan pasar,” katanya kepada Mahkamah Koroner ketika inkues kematian Zara, hari ini.
Saksi ke-57 itu disoal oleh peguam Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga Zara.
Terdahulu, Shahlan bertanya mengenai serangan di media sosial terhadap kakitangan sekolah selepas pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Asnie, yang kini bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Papar berkata, pihak sekolah sudah melakukan sebaik mungkin.
Katanya, sebagai guru paling senior di SMKA Tun Datu Mustapha, beliau memilih untuk memberi semangat kepada rakan-rakan guru selepas kejadian itu daripada menangis di hadapan mereka.
Apabila ditanya oleh Shahlan sama ada kecaman media sosial terhadap kakitangan sekolah mempunyai persamaan dengan cara pelajar senior melayan Zara pada malam 15 Julai, Asnie berkata, beliau tidak pasti dan tidak dapat menghuraikannya.
Peguam itu turut menyoal beliau mengenai tiga insiden iaitu insiden sentuhan fizikal pada bulan Mac, kejadian membabitkan Zara pada Julai, dan satu lagi kes sentuhan fizikal pada September.
Asnie menjawab: “Seperti yang saya jelaskan semalam, tuan, pendidikan bukan saja berlaku di sekolah tetapi juga di rumah. Kami sudah melaksanakan program disiplin yang pada pandangan saya agak baik.”
Menjawab soalan Shahlan sama ada program di sekolah berkesan mencegah insiden seperti itu berulang, beliau berkata: “Ya, program yang dirancang di sekolah berkesan, tetapi ada kes terpencil.
“Masih ada 500 pelajar yang menunjukkan prestasi baik. Sepanjang pengalaman saya bertugas di sana, kami mempunyai kira-kira 600 pelajar, dan program itu memberi kesan. Tetapi mustahil untuk kami menghasilkan pelajar yang 100 peratus sempurna,” katanya.
Inkues akan bersambung pada jam 2 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






