am@hmetro.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pimpinan kerajaan termasuk badan penguatkuasaan supaya tidak melindungi mana-mana anggota atau pegawai mereka yang terbabit dalam salah laku dan rasuah.
Perdana Menteri menegaskan, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbabit dalam jenayah rasuah, walaupun dari Pejabat Perdana Menteri sendiri.
Jelasnya, negara hanya akan selamat jika semua pimpinan dan badan penguatkuasa memiliki kesediaan untuk bertindak ke atas anggota dan pegawai mereka sendiri.
“Kalau kebetulan ada anggota kita tersalah langkah, kalau ringan tindakan disiplin (boleh) diambil, kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan dari badan penguatkuasa untuk bertindak terhadap anggota kita Sendiri, baru boleh selamat negara ini.
“Jadi bayangkan pejabat saya kalau ada, saya (akan) beritahu kepada Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), saya tidak melindungi sesiapa, terus ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak boleh leka terhadap ancaman manipulasi persepsi awam serta campur tangan pihak berkepentingan dalam sistem pentadbiran dan penguatkuasaan negara.
Katanya, masih wujud individu atau pihak tertentu yang didakwa memiliki kekuatan sumber serta pengaruh yang boleh digunakan untuk mengganggu-gugat institusi negara, termasuk melalui usaha menyeludup masuk pengaruh ke dalam perkhidmatan awam, kehakiman dan badan penguatkuasaan.
“Tidak mudah kerana orang yang kita asak dan serang itu, kadang-kadang mempunyai simpanan berbilion ringgit, kalau kita dapat rampas, tiga bilion atau empat bilion, saudara ingat dia tidak simpan bilion-bilion yang lain, masih ada.
“Dia gunakan untuk terus menggunakan, menyokong sama ada orang politik ataupun menerobos menyeludup ke sistem pejabat awam atau kehakiman atau badan penguatkuasaan atau malah di sosial media untuk menyerang kita,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku, namun menegaskan semua kelemahan yang wujud harus diperbaiki.
“Kita tak nafikan itu semua, saya tidak naif untuk menolak itu semua. Saya ada bincang juga dengan Ketua Pesuruhjaya (SPRM) kalau ada, kita jawab supaya kita tangani masalah dengan tegas, kerana orang ini mahu membina persepsi negatif supaya secara tidak langsung melindungi penjenayah ini.
“Kalau kita biarkan persepsi itu akan bangun dan kemudian mencengkam kita. Maka sebab itu, dalam bicara soal integriti dan kebersihan dan dalam mendukung semua usaha yang hebat dan gagah berani pada badan penguatkuasaan yang saya sebut tadi kita harus teliti, supaya proses itu dan prinsip negara hukum dipatuhi semuanya,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan penuh teliti supaya selaras dengan prinsip negara hukum serta memelihara integriti institusi.
Beliau berkata, setiap alasan dan cara tangkapan mesti dijelaskan dengan cepat dan tegas apabila dipersoalkan kerana keutamaan bukan hanya pada pelaksanaan undang-undang tetapi juga pada cara tindakan itu dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






