Piala Raja Muda Selangor B-12: Ulu Yam Bharu buru penutup terindah di Shah Alam

Piala Raja Muda Selangor B-12: Ulu Yam Bharu buru penutup terindah di Shah Alam


PENGENDALI Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Yam Bharu, Zuhaimi Jasa, menegaskan final Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) di padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam pada Sabtu ini sebagai peluang terakhir pasukannya menamatkan musim yang penuh kejutan dengan noktah paling manis.

Pasukan dari Batang Kali itu muncul sebagai salah satu kisah paling menarik dalam kejohanan edisi tahun ini apabila berjaya mengharungi saingan getir sebelum mara ke pentas akhir.

Menurut Zuhaimi, kejayaan mara ke final bukan sahaja hasil peningkatan prestasi pemain, malah bukti pasukan luar bandar juga mampu bersaing di pentas yang selama ini didominasi sekolah-sekolah berprofil tinggi.

Ketika dihubungi Sinar Harian, beliau mengakui bahawa Ulu Yam Bharu kini berada hanya satu perlawanan sahaja daripada menamatkan kempen dengan sejarah tersendiri.

“Ini musim yang sangat bermakna bagi kami. Selepas apa yang dilalui sepanjang kejohanan, final ini adalah halangan terakhir sebelum kami menutup musim dengan kejayaan.

“SK Serdang adalah lawan yang kuat, tetapi ini peluang terbaik untuk pemain membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Persiapan pasukan memberi penekanan kepada kekuatan mental dan disiplin taktikal, sesuatu yang dianggap perlu bagi sebuah final yang dijangka berlangsung sengit.

Zuhaimi menyatakan bahawa pemainnya diminta memberi sepenuh fokus terhadap perancangan permainan dan tidak memberikan ruang kepada rasa gentar ketika bertemu pasukan lawan.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan tidak akan dicapai sekiranya pemain memandang terlalu tinggi kekuatan lawan tanpa menyedari keupayaan sendiri.

“Fokus kami ialah memastikan semua pemain bermain dengan semangat dan ikut perancangan yang ditetapkan.

“Jangan terlalu menghormati lawan. Kami dilihat sebagai underdog, tetapi kemenangan ke atas penyandang juara dua tahun berturut-turut di suku akhir sudah membuktikan bahawa kami mampu memberi saingan,” ujarnya.

Ulu Yam Bharu menunjukkan kematangan permainan ketika menewaskan SK Sungai Lang, Banting, 1-0 dalam separuh akhir di Padang SK Putra Heights 2.

Ia hadir selepas kejayaan lebih besar ketika menyingkirkan juara bertahan SK Seksyen 20, Shah Alam melalui penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dua perlawanan getir itu menonjolkan kesabaran serta ketenangan pemain muda berusia 12 tahun itu dalam mengendalikan tekanan.

Sementara itu, SK Serdang hadir ke final dengan momentum hampir sama meyakinkan selepas menundukkan finalis musim lalu, SK Seri Pristana, Sungai Buloh 1-0.

Mereka turut mencipta keputusan dramatik apabila menewaskan SK TUDM Subang melalui penentuan penalti 4-3 selepas seri 1-1.

Prestasi konsisten lawan itu tidak terlepas daripada perhatian Zuhaimi yang mengakui perlawanan akhir ini sukar diramal dan terbuka kepada kedua-dua pasukan.

Beliau berkata kejayaan dalam perlawanan akhir akan bergantung kepada disiplin pasukan serta kemampuan pemain meminimumkan kesilapan.

Keseluruhan pasukan telah diingatkan supaya tidak mensia-siakan peluang, selain memastikan mereka saling mempercayai dan bergerak sebagai satu unit sepanjang 60 minit permainan.

“Saya mahu pemain berjuang sampai wisel penamat dan tidak lepaskan sebarang peluang. Perlawanan ini 50-50. Pasukan yang melakukan kurang kesilapan akan berjaya. Yang penting, mereka perlu percaya antara satu sama lain,” katanya.

Kejohanan Piala Raja Muda Selangor edisi tahun ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah rendah dari seluruh negeri yang dibahagikan kepada lapan kumpulan sebelum melalui pusingan 16 terbaik, suku akhir, separuh akhir dan final.

Saingan kompetitif itu menjadikan laluan kedua-dua pasukan finalis sebagai pencapaian tersendiri. Kejohanan ini turut mendapat tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.

Pasukan yang muncul juara akan membawa pulang RM5,000, diikuti RM4,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga manakala RM2,000 menanti pasukan keempat, masing-masing disertakan trofi dan pingat.

Ringkasan AI

  • PENGENDALI Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Yam Bharu, Zuhaimi Jasa, menganggap final Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun sebagai peluang terakhir pasukannya untuk mengakhiri musim dengan sempurna
  • Pasukan dari Batang Kali berjaya ke final setelah melewati saingan getir dan dianggap sebagai salah satu kisah menarik kejohanan
  • Menurut Zuhaimi, kejayaan ke final membuktikan pasukan luar bandar mampu bersaing di pentas besar
  • Persiapan pasukan menekankan kekuatan mental dan disiplin taktikal untuk menghadapi final yang dijangka sengit
  • Pasukan Ulu Yam Bharu telah berjuang melalui perlawanan sengit, termasuk kemenangan atas juara bertahan SK Seksyen 20, Shah Alam dalam penentu penalti dan akan berhadapan dengan SK Serdang di final



Source link

OR

Scroll to Top