TFFC U9 buru pengalaman di Pattaya

TFFC U9 buru pengalaman di Pattaya


Kuala Lumpur: Kelab Bolasepak Muda Negara (TFFC) bawah 9 tahun bakal membawa bakat muda Malaysia ke Pattaya apabila beraksi pada Kejohanan Belia Antarabangsa Thailand 2025 pada 6 hingga 7 Disember ini.

Kelab berpangkalan di Damansara itu kembali ke kejohanan sama buat kali kedua selepas muncul juara edisi 2024 menerusi skuad bawah 7 tahun.

Tahun ini, giliran skuad ‘abang’ pula diberi peluang merasai suasana bola sepak antarabangsa yang menghimpunkan kelab pembangunan dari seluruh Asia.

Menurut pengurusan kelab, pendedahan luar negara penting bagi membentuk keyakinan dan kematangan pemain muda sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

TFFC diundi dalam Kumpulan C bersama tiga kelab tuan rumah iaitu FC Planet, CFB Bangesan dan Bangkok Fireball selain dua pasukan dari China dan Hong Kong iaitu VE serta AIFA.

Presiden kelab berkata, persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu diharap mampu memberi nilai tambah kepada pemain yang dipilih hasil proses keluar masuk skuad yang berlaku sepanjang musim.

Selain China dan Hong Kong, kejohanan itu turut menarik penyertaan kelab dari India, Singapura, Filipina, Indonesia, Jepun dan Vietnam dengan penyertaan terbesar datang daripada kelab Thailand.

Skuad TFFC dijadual berlepas dari KLIA2 pada Jumaat ini membawa doa dan harapan keluarga, rakan serta para penyumbang yang percaya dengan potensi pemain muda kelab terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top