SKUAD Harimau Muda diingatkan agar tidak mengulangi ‘skrip duka’ tewas pada aksi pembukaan seperti yang berlaku ketika Piala ASEAN B-23 serta Kelayakan Piala Asia B-23 pada Julai dan September lalu, sekiranya mahu melangkah jauh pada temasya Sukan SEA kali ini.
Amaran itu bukan tanpa sebab, memandangkan episod langkah kiri sering menjadi punca skuad muda negara gagal mara lebih jauh dalam kejohanan utama.
Mengimbau kegagalan di Piala ASEAN yang berlangsung di Indonesia, skuad negara memulakan saingan dengan langkah sumbang apabila tewas 0-2 kepada Filipina.
Biarpun berjaya bangkit membelasah Brunei 7-1, kebangkitan itu disifatkan sudah terlambat apabila sekadar mampu seri menentang tuan rumah, sekali gus memaksa pasukan pulang awal.
Situasi sama turut berulang ketika saingan Kelayakan Piala Asia. Skuad negara tewas mengejut 0-1 kepada Lubnan pada aksi pertama sebelum bangkit membenam Mongolia 7-0.
Namun, harapan untuk layak lebur apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand dalam aksi penentuan.
Pengendali pasukan, Nafuzi Zain juga mengakui bahawa kegagalan melakar keputusan positif pada perlawanan pertama sering menjadi punca utama skuad negara terkandas awal dalam dua kejohanan terdahulu.
Justeru, beliau menuntut anak buahnya memberikan fokus 100 peratus untuk meraih kemenangan mutlak apabila turun menentang Laos nanti.
“Melihat kepada dua kejohanan sebelum ini, kegagalan pada aksi pembukaan menjadi faktor utama kenapa kami tidak dapat mara lebih jauh.
“Kami tidak mahu berdepan nasib sama lagi. Perlawanan pertama amat penting untuk memastikan tiga mata diraih dan membuka laluan ke pusingan seterusnya,” katanya.
Kini di pentas Sukan SEA, cabaran dalam Kumpulan B dilihat semakin sengit apabila Vietnam yang memulakan aksi lebih awal sudah melakar kemenangan 2-1 ke atas Laos.
Justeru, mahu tidak mahu, skuad negara wajib mencatatkan kemenangan ke atas Laos dan Vietnam bagi mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Malah, Laos juga tidak boleh dipandang mudah kerana aksi bertenaga yang dipamerkan mereka sehingga memberikan saingan sengit kepada Vietnam dalam aksi pembukaan itu membuktikan pasukan tersebut mampu mencipta kejutan.
“Apa yang saya nampak, Vietnam juga tidak mendapat kemenangan mudah. Hanya kemenangan tipis 2-1 dan Laos juga boleh menjaringkan satu gol.
“Laos bertahan dengan sangat baik dan mereka juga mampu melakukan serangan balas dengan pantas.
“Jadi, kami kena bersedia kerana itu senjata utama Laos,” katanya.
Tugas skuad negara kali ini dilihat lebih mencabar mengikut format kejohanan yang menetapkan hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik sahaja layak mara ke peringkat separuh akhir.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi ‘ibu segala pingat emas’ acara bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Skuad B-23 negara dijadualkan membuka tirai saingan Kumpulan B menentang Laos petang ini, sebelum membuat perhitungan hidup mati menentang Vietnam pada 11 Disember depan di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Ringkasan AI
- SKUAD Harimau Muda diingatkan agar tidak mengulangi kekalahan pada aksi pembukaan seperti di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23
- Kegagalan dalam perlawanan pembukaan menjadi faktor utama skuad negara terkandas awal dalam dua kejohanan terdahulu
- Pengendali pasukan, Nafuzi Zain menuntut fokus 100 peratus untuk memenangi perlawanan pertama menentang Laos
- Kemenangan ke atas Laos dan Vietnam diperlukan untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati di Sukan SEA
- Laos tidak boleh dipandang mudah kerana kemampuan membawa saingan sengit kepada Vietnam dalam aksi pembukaan






