am@hmetro.com.my
Gua Musang: Gusar hilang mata pencarian selain terpaksa ‘ikat perut’ ketika tengkujuh susulan tidak dapat menoreh getah.
Masalah dialami sekian lama itu berakhir apabila penoreh getah di daerah ini mengambil inisiatif mendulang emas bagi menyara hidup.
Penduduk mendakwa mereka melakukan aktiviti mendulang emas ketika musim hujan menyebabkan pokok getah basah serta tidak dapat mengeluarkan susu getah.
Tinjauan wartawan mendapati penduduk melakukan aktiviti ini di beberapa lokasi anak sungai secara berkumpulan antara enam hingga 10 orang.
Berikutan aktiviti itu dilakukan sebagai pendapatan sampingan, mereka hanya menggunakan kuali memasak selain alas kaki kenderaan sebagai penapis mengasingkan batu dan pasir.
Pendulang yang hanya mahu dikenali sebagai Hasmah, 40-an berkata, dia bersama rakan pergi ke anak sungai berhampiran rumah untuk mendulang emas sekitar jam 10 pagi.
Katanya, sebelum datang ke lokasi mendulang, mereka perlu sediakan bekalan makan tengah hari sebelum melakukan aktiviti itu sehingga petang.
“Kami lega kerajaan umumkan akan mengeluarkan lesen mendulang emas tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya dapatlah kami lakukan aktiviti ini secara sah ketika tidak dapat menoreh getah pada musim tengkujuh.
“Kami bahagikan kepada tiga atau empat kumpulan yang melakukan tugas masing-masing iaitu mengambil pasir, mengayak sebelum mendulangnya di dalam kuali,” katanya.
Hasmah berkata, walaup hasilnya tidak seberapa namun cukup untuk membeli barangan keperluan rumah ketika tengkujuh.
Katanya, sepanjang mendulang emas tujuh hingga lapan jam, anggaran pendapatan diperoleh mencecah RM50 sehari.
“Emas dikumpul sebelum dijual kepada peraih emas. Emas yang ditemui di sungai ini dalam bentuk butiran pasir dan jarang berbentuk ketulan,” katanya.
Kumpul tiga minggu sebelum jual
Gua Musang: Kewujudan emas di daerah ini turut membawa rahmat kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman yang sebelum ini bergantung dengan hasil hutan.
Ini terbukti apabila mereka turut berjinak-jinak menjadi pendulang emas tradisional di kawasan hutan belantara didiami.
Emas mentah yang diperoleh akan dikumpulkan sehingga tempoh tiga minggu sebelum dijual kepada pembeli emas yang datang ke perkampungan mereka.
Biarpun harga emas yang dibeli lebih murah berbanding harga pasaran semasa namun masyarakat Orang Asli ‘senang’ berurusan berikutan mereka tidak perlu keluar jauh ke bandar.
Penduduk yang hanya mahu dikenali Alang berkata, emas yang diperoleh dalam bentuk butiran pasir halus dikumpul terlebih dahulu sebelum dijual.
Katanya, kebiasaan penduduk mendulang emas secara berkumpulan dan hasilnya akan dibahagikan sama rata.
“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu, kami akan akan mengumpulkan emas ini dan menjaulnya kepada pembeli.
“Adakalanya kami dapat menjual sehingga tujuh gram emas kepada pembeli hasil mendulang secara berkumpulan.
“Walaupun harga beliannya lebih murah berbanding di bandar, namun kami berpuas hati kerana tidak perlu keluar daripada penempatan kami,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Alang, dia juga berharap lesen mendulang yang akan dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri mengenakan syarat mudah.
© New Straits Times Press (M) Bhd





