syafil.syazwan@hmetro.com.my
KOLABORASI antara penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri dan maestro muzik Indonesia, Andi Rianto, akhirnya direalisasikan selepas melalui proses panjang hampir dua tahun.
Hasilnya, lahirlah sebuah karya berskala besar berjudul Perjalanan, sebuah lagu yang mengangkat sisi peribadi Ernie sebagai artis yang sudah lebih sedekad mengukir nama dalam industri.
Menurut Ernie, kerjasama ini adalah impian yang digenggam sejak kecil. Nama Andi Rianto bukan asing dalam hidupnya kerana dia membesar dengan karya-karya ciptaan komposer tersohor itu.
“Sejujurnya ini satu mimpi. Sejak kecil saya sudah mengenali muzik Mas Andi dan saya kagumi susunan orkestra beliau.
“Dua tahun lalu pihak saya hubungi Universal Music Indonesia untuk sampaikan hasrat bekerjasama. Walaupun Mas Andi ketika itu tidak mengenali saya, kami tetap cuba mencari jalan untuk menjayakannya,” kata Ernie.
Dorongan itu tambah kuat apabila bapa saudaranya, penyanyi Anuar Zain, pernah berganding dengan Andi Rianto pada awal tahun 2000.
Nasihat Anuar menjadi pemangkin keberanian bahawa bekerja dengan Mas Andi mampu membuka laluan baharu untuk kerjaya Ernie.
Pertemuan pertama antara Ernie dan Andi berlangsung pada 2023 di Jakarta melalui kerjasama Universal Music Malaysia dan Indonesia. Pada waktu itu, Andi tidak mengetahui status Ernie sebagai anak saudara Anuar Zain.
“Beliau kata Mas Andi sangat mudah bekerjasama, dan itu menenangkan saya. Segala proses berlaku begitu teratur seakan-akan doa saya dipermudahkan,” kata Ernie.
Sesi singkat selama setengah jam melahirkan inti kepada melodi yang akhirnya berkembang menjadi lagu Perjalanan. Dari situlah Andi meminta Ernie menulis lirik dan hanya dalam tempoh satu hari, lirik itu siap sepenuhnya.
Menurut Ernie, idea lirik hadir daripada ‘da da da da’, frasa melodi yang dicadangkan Andi untuk dijadikan asas tema Perjalanan.
Lantas Ernie membawa tema itu ke titik paling peribadi dalam hidupnya, menterjemahkan perjalanan seni seorang remaja 17 tahun yang tidak tahu apa yang menantinya dalam dunia hiburan.
“Bakat saja tak cukup. Saya belajar bahawa minat, usaha dan keikhlasan perlu bergerak seiring. Lagu ini mewakili perjalanan diri saya, cabaran, keraguan dan keberanian untuk terus berdiri,” katanya.
Mahu memberikan impak sinematik, Andi memilih untuk merakamkan orkestra di Budapest bersama Budapest Scoring Orchestra, sebuah pasukan muzik yang sering bekerjasama dengannya.
“Kami tidak gunakan string sahaja, tetapi keseluruhan orkestra penuh, brass, woodwinds, horn, semuanya. Saya mahu bunyi yang betul-betul besar dan megah.
“Setiap ciptaan perlu selaras dengan karakter vokal penyanyi yang mana, harus direka khusus atau ‘custom-made’ untuk Ernie,” katanya.
Walaupun Andi pernah menyusun muzik untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Anuar Zain, kolaborasi ini menjadikan Ernie sebagai penyanyi Malaysia pertama yang menerima karya penuh ciptaannya.
“Ernie ada ‘signature’ vokal yang kuat dan aura bintang yang tersendiri. Itu memudahkan saya mencipta lagu yang sesuai untuknya,” katanya.
Perjalanan akan dimuatkan dalam album baharu Ernie berjudul Sahabat yang dijangka dilancarkan tahun depan.
Album ini menampilkan 10 lagu termasuk kolaborasi bersama beberapa rakan artis dari Malaysia dan Indonesia dan kini Andi Rianto turut dianggap sebahagian daripada sahabat dalam perjalanan seni itu.
Dengan sokongan Universal Music Indonesia, Ernie kini lebih serius membina kehadiran di negara jiran itu.
“Ramai yang tahu lagu saya, tetapi tidak mengenali saya sebagai individu. Jadi saya mahu tampil dengan lebih banyak kolaborasi, showcase kecil dan projek bersama pemuzik Indonesia,” kata Ernie.
© New Straits Times Press (M) Bhd






