Pelakon, Christina Suzanne mengakui dirinya sanggup untuk mengambil cabaran mempelajari bahasa asing bagi membuat persediaan menyertai produksi negara lain.
Ketika ditemui media, Christina atau nama penuhnya, Christina Suzanne Stockstill, 40, bagaimanapun menjelaskan setakat ini dia masih belum menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.
“Setakat ini saya tak pernah lagi dapat tawaran daripada mana-mana produksi dari negara lain seperti dari Indonesia atau Thailand.
“Saya sanggup untuk belajar bahasa mereka. Okay sahaja pada saya, sekurang-kurangnya ada kelainan dalam lakonan saya.
“Kalau kita pandai berbahasa asing, kita akan dapat peluang yang lebih cerah,” katanya.
Namun begitu, aktres filem popular Babah ini tetap komited dan yakin tidak salah untuk bermimpi.
“Mungkin suatu hari nanti akan ada, jadi saya kena berazam. Kalau ada tawaran, saya nak sangat untuk mencuba sebab saya nak merasa budaya kerja di sana,” katanya.
Christina berkata demikian ketika ditemui di sesi temu bual bersama selebriti dan tenaga pelajar TV Tuisyen yang berlangsung di Balai Berita, pada Isnin.
Bagaimanapun, Christina menyedari tidak mudah untuk seseorang menapak dalam industri di negara tersebut terutamanya apabila tidak mempunyai kenalan di sana.
“Kalau kita nak buat pengambaran di Jakarta atau pun Bangkok, kita perlukan seseorang yang dikenali di sana. Itu akan memudahkan pengurusan kita, jadi semuanya akan mudah kalau ada kenalan,” katanya.
Sementara itu, Christina turut menjadikan aktor Bront Palarae sebagai salah seorang contoh selebriti tanah air yang berjaya menonjolkan diri dan mengembangkan bakat lakonannya di industri seni seperti negara Thailand dan Indonesia.






