PENGENDALI Shanghai Port FC, Kevin Muscat optimis bahawa pasukannya mampu membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Menurutnya, skuad The Red Eagles bakal mempamerkan aksi terbaik untuk merealisasikan misi meraih kemenangan dan mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan A, Zon Timur.
“Kami tetap akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini.
“Ia merupakan perlawanan penting di mana kami memerlukan mata maksimum dan kami akan melihat cabaran ini secara positif,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan.
Mengulas lanjut, Muscat berkata, beliau sedar akan corak permainan berintensiti tinggi yang diamalkan skuad Harimau Selatan, hasil analisis menyeluruh ke atas prestasi JDT.
“Saya boleh sifatkan JDT sebagai sebuah pasukan yang stabil dan konsisten dalam saingan ACLE ketika ini,” ujarnya.
Berkaitan kemungkinan Arif Aiman tidak diturunkan pada perlawanan tersebut, Muscat berkata, pasukannya tetap perlu berwaspada dengan ancaman daripada jentera serangan JDT.
Malah, katanya, beliau masih mengingati dua jaringan Arif Aiman ketika pertembungan kedua-dua pasukan musim lalu.
“Arif adalah pemain yang sangat baik tetapi mungkin bukan satu-satunya pemain berkualiti yang tidak dapat bermain.
“Walau apa pun, JDT tetap mempunyai ramai pemain yang bagus. Semua cabaran ini kami lihat sebagai peluang untuk pasukan beraksi sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pemain Shanghai Port, Li Shuai, menyifatkan peluang beraksi dalam saingan ACLE sebagai satu penghormatan besar dan kesempatan untuk meningkatkan kemampuan diri.
“Berdasarkan keputusan seri 2-2 musim lalu, dan dengan barisan pemain yang ada ketika ini, kami akan menunjukkan mentaliti terbaik dan cuba mengharungi perlawanan esok dengan sebaik mungkin,” katanya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Shanghai Port FC Kevin Muscat optimis pasukannya mampu membawa pulang tiga mata pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elit berdepan Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim
- Skuad The Red Eagles berhasrat mempamerkan aksi terbaik untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan A, Zon Timur
- Muscat menyatakan pasukannya akan berusaha memenangi perlawanan ini untuk memperoleh mata maksimum
- Walaupun mungkin Arif Aiman tidak diturunkan, Shanghai Port tetap perlu berwaspada dengan ancaman daripada jentera serangan JDT
- Pemain Shanghai Port, Li Shuai, menyifatkan peluang beraksi dalam saingan ACLE sebagai penghormatan besar dan kesempatan untuk meningkatkan kemampuan diri






