am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Shakilla Koriri, 36, meluahkan perkongsian emosi mengenai perjalanan tiga tahun membesarkan dan menguruskan anaknya, Ameena Sofia, 6.
Menerusi hantarannya di Instagram, Shakilla mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, terutama dalam aspek pendidikan awal anak perempuannya itu.
Menurutnya, dia menempuh pelbagai cabaran namun memilih untuk terus kuat demi memastikan semuanya berjalan dengan menyeronokkan serta membesar dalam suasana selamat dan positif.
“Tiga tahun yang bukan mudah untuk aku dalam dunia ‘sekolah’ untuk Ameena. Macam-macam yang terjadi sepanjang tiga tahun ini, tapi aku tepis, telan dan aku cuba hadam untuk buat Ameena rasa seronoknya perjalanan dia belajar dalam suasana yang aman dan seronok meneroka dalam dunia dia dan kawan-kawan dia,” tulisnya.
Menerusi perkongsiannya itu, Shakilla merasakan tugas menguruskan Ameena seorang diri bukan tugas yang mudah, namun segala kepayahan diterima sebagai cabaran sehingga kini dia mampu tersenyum melihat perkembangan anaknya yang disifatkan sebagai anak yang ringan tulang dan suka membantu.
“Menguruskan Ameena seorang bukan senang, tapi aku ambil semua sebagai cabaran dan hari ini aku boleh senyum tengok apa dan siapa Ameena hari ini (kelmarin).
“Anak yang menyenangkan. Ringan tulang dan suka tolong orang walaupun kadang-kadang macam jadi orang suruhan bila masa waktu main dengan kawan yang lain,” tulisnya lagi.
Shakilla turut berkongsi, mendidik anak pada zaman sekarang menuntut keseimbangan serta pengorbanan dalam membina sifat berdikari, berdisiplin, hormat dan tanggungjawab, sesuatu yang bukan mudah untuk dilaksanakan. “Sebagai ibu bapa, berjuang lah kita untuk suatu masa ini untuk anak-anak. Banyak yang kena korbankan. Betul. Banyak yag aku KORBANKAN untuk Ameena.
“Tapi aku yakin, aku mungkin banyak kalah dan lelah sekarang, tapi InsyaAllah Allah bantu panjangkan doa aku yang seorang pendosa ini untuk Ameena Sofia,” tulisnya lagi.
Shakilla turut mengakui dia bangga menjadi ibu kepada Ameena dan bersyukur kerana kini dia mempunyai sokongan ramai pihak yang sentiasa berada di belakangnya.
“Perjalanan Ameena masih panjang. Umi tak tahu nak rasa apa. Hari ini Umi berjuang bukan seorang, tapi ada ramai di belakang Umi yang menyokong dan ADA untuk kita. Terima kasih semua,” tulisnya.
Di akhir perkongsiannya itu, Shakilla turut meminta agar orang ramai memberikan kata-kata pemujuk supaya dia tidak berasa sedih memandangkan anaknya akan memasuki alam persekolahan pada tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






