Kempen Internet Selamat 2025 Libatkan Hampir 680,000 Peserta

Kempen Internet Selamat 2025 Libatkan Hampir 680,000 Peserta


Kempen Internet Selamat (KIS) 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menarik penyertaan seramai 677,134 peserta di seluruh negara sehingga 30 November lalu.

Komunikasi Korporat MCMC menjelaskan daripada jumlah itu, seramai 369,005 peserta adalah pelajar dari 8,462 buah sekolah.

“Melalui pelaksanaan ini, mesej keselamatan KIS berjaya menjangkau lebih 80 peratus sekolah di seluruh negara.

“Ini merangkumi sekolah rendah, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, sekolah menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman serta Sekolah Kurang Murid (SKM),” katanya dalam kenyataan.

Datuk Fahmi Fadzil menyempurnakan perasmian Karnival Mega Kempen Internet Selamat (KIS), baru-baru ini. GAMBAR: BERNAMA

Mengulas lanjut, Komunikasi Korporat MCMC berkata, sebanyak 61 program KIS melibatkan 20,190 peserta turut dilaksanakan di institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti kolej, IPTA dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Pencapaian KIS juga merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya Kementerian Pendidikan yang memberikan sokongan bagi membolehkan kempen ini dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Tidak ketinggalan ialah peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan badan-badan lain seperti Persekutuan Pengakap Malaysia dan BAKAT yang turut membantu menyebarkan mesej kempen dengan lebih meluas dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Turut dilibatkan dalam KIS ialah seramai 287,939 peserta dalam kalangan komuniti, agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat melalui penganjuran 466 program.

Datuk Fahmi Fadzil menyerahkan hadiah kemenangan kepada peserta Pertandingan Peringkat Akhir Debat KIS antara IPT. GAMBAR: BERNAMA

Langkah itu bagi memastikan mesej keselamatan Internet sampai kepada masyarakat umum, kata Komunikasi Korporat MCMC.

“Sebagai kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan, fokus pada tahun 2026 adalah untuk meneruskan pelaksanaan KIS di sekolah-sekolah dan IPT serta memperluas jangkauan kepada pengguna Internet yang lain seperti warga emas, belia dan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, acara kemuncak KIS 2025 berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen IOI City Mall, Sepang dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung.

Majlis Penutupan Karnival Mega KIS itu dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Sabtu lalu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Datuk Fahmi Fadzil bersama para pemenang debat Kempen Internet Selamat (KIS). GAMBAR: BERNAMA

Acara kemuncak KIS itu menampilkan pelbagai aktiviti utama seperti Pertandingan Peringkat Akhir Debat KIS antara IPT yang julung-julung kali diadakan serta Forum “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua”.

Tidak ketinggalan ialah pameran keselamatan dalam talian oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan dalam talian seperti Google, TikTok, Meta serta Tencent.

“Turut dianjurkan ialah aktiviti interaktif di reruai yang berjaya menarik kehadiran hampir 3,000 orang pengunjung,” kata kenyataan itu.






Source link

OR

Scroll to Top