Nyanyi semua lagu baharu buat peminat tempatan

Nyanyi semua lagu baharu buat peminat tempatan


am@hmetro.com.my

Nama penyanyi terkenal Indonesia, Afgan memang tidak asing dalam kalangan peminat tempatan kerana dia kerap mengadakan persembahan mahupun konsert di negara ini.

Malah, Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza, 36, menganggap Malaysia bagaikan rumah kedua untuk dirinya selepas Indonesia.

Justeru, tidak hairanlah, Afgan memilih untuk mengadakan showcase sempena bingkisan album terbaharunya berjudul Retrospektif yang dilancarkan di Kuala Lumpur, bulan lalu.

Justeru, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini Afgan tampil menerusi showcase yang memaparkan sebuah refleksi perjalanan karier seninya yang berjaya menarik lebih 2,000 penonton.

Dalam ucapannya, Afgan berterima kasih kepada peminat di Malaysia yang hadir sekali gus memberi sokongan pada persembahannya.

“Hello Malaysia, apa khabar dan Assalammualaikum. Selamat datang ke Afgan Retrospektif Showcase.

“Terima kasih kepada semua yang hadir di ‘showcase’ ini. Ia cukup bermakna buat saya dan saya sayangkan anda semua. Peminat di Malaysia adalah yang terbaik,” katanya sambil disambut sorakan daripada penonton.

Menurut Afgan, Retrospektif adalah album yang dihasilkannya selepas tujuh tahun tidak muncul dengan album baharu dan Kuala Lumpur menjadi lokasi terawal untuk diperdengarkan rangkaian lagu-lagu itu secara langsung.

“Saya sangat seronok dapat kembali ke sini dengan menyampaikan semua rangkaian lagu dari album terbaharu yang julung kalinya dipersembahkan.

“Lagu-lagu itu juga belum dipersembahkan di Jakarta dan ini menunjukkan betapa istimewanya peminat di Malaysia di hati saya,” katanya

Selain itu, Afgan juga mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang hadir termasuk dari Singapura pada showcase berkenaan.

Lebih bermakna, showcase itu turut dihadiri ibu bapanya, Loyd Yahya dan Lola Purnama.

Sampaikan lebih 20 lagu termasuk medley

Pada showcase Retrospektif itu, Afgan menghiburkan peminat menerusi lebih 20 rangkaian lagu termasuk medley lagu album terbaharunya serta lagu hitsnya dalam durasi persembahan kira-kira dua jam setengah itu.

Tirai persembahan dimulakan jam 8.30 malam dengan rangkaian lagu berjudul Misteri Dunia, Silakan, Pesan Cinta, Wajahmu Mengalihkan Duniaku dan Sebentar.

Afgan meneruskan persembahan dengan lagu The One That Got Away, Entah dan Kunci Hati sekali gus menghangatkan showcasenya itu.

Bertepatan dengan konsep persembahan yang dekat dengan peminat, Afgan turut melayan pelbagai permintaan penonton untuk berswafoto, membaca kad ucapan dan menyanyikan lagu pilihan peminat iaitu Seperti Ada dan Pendam.

Sambil menghiburkan peminatnya, Afgan turut berkongsi sisi peribadinya sepanjang tahun ini.

“Selain hasilkan album baharu, perkara yang paling bermakna bagi saya tahun ini ialah dapat menunaikan ibadah haji dan ia juga pengalaman paling indah dalam hidup.

“Saya juga berharap, semoga tahun depan menjadi tahun yang lebih baik untuk kita semua,” katanya.

Afgan turut menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu termasuk lagu hitsnya seperti Terima Kasih Cinta, Tak Ada Rencana (Ku Jatuh Cinta) Knock Me Out, Masa Iya, Dia Dia

Dia, Kepastian dan Bukan Cinta Biasa.

Tidak ketinggalan, Afgan menyampaikan lagu Ku Mohon yang juga penghormatan kepada penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid.

Sudah namanya penghibur, Afgan mengajak peminat menyanyi bersama lagu seperti Kacamata, Jodoh Pasti Bertemu, Untukmu Aku Bertahan, Setia Menunggu, Ku Dengannya Kau Dengan Dia.

“Melihat wajah anda saya tersentuh, mendengar anda menyanyi bersama, saya juga tersentuh.

“Semoga saya dapat terus menyanyi untuk teman-teman semua hingga ke akhir hayat,” katanya.

Lagu lain yang turut disampaikannya sekali gus mengakhiri persembahan ialah rangkaian lagu seperti Peluk, Sampai Jumpa, Bawalah Aku Pergi, Lenggang Puspita dan Panah Asmara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top