Akaun Palsu Kongsi Video Dengan Arwah Suami, Zizie Ezette Tegaskan Hanya Ada Satu Media Sosial Aktif

Akaun Palsu Kongsi Video Dengan Arwah Suami, Zizie Ezette Tegaskan Hanya Ada Satu Media Sosial Aktif


Pelakon, Datin Seri Zizie Ezette tampil menjelaskan kekeliruan apabila namanya digunakan oleh beberapa akaun media sosial yang dipercayai tidak berhubung dengannya, terutama selepas pemergian suami tercinta, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menerusi hantaran di Instagram Story (IGs), Zizie menjelaskan hanya satu akaun Instagram sahaja yang aktif digunakan, selain menegaskan dia tidak memiliki akaun TikTok manakala Facebook miliknya sudah lama tidak berfungsi.

“Sekadar penjelasan, ini satu-satunya akaun aktif saya. Saya tidak ada TikTok, dan Facebook saya juga sudah lama tidak aktif. Jika anda terlihat hantaran atau video saya bersama arwah suami di mana-mana platform lain, itu bukan daripada saya.

“Saya tahu ada yang berniat baik, dan saya hargai kasih sayang serta doa kalian. Namun saya perlu jelaskan bahawa akaun-akaun itu bukan milik saya. Terima kasih,” katanya.

Sebelum ini, Zizie turut menzahirkan rasa terharu apabila semakin ramai individu tampil berkongsi kebaikan arwah suaminya, termasuk bantuan yang dilakukan secara diam-diam tanpa pengetahuan umum.

Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi, Jumaat, 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Pemergian arwah turut mengundang pelbagai reaksi dan ucapan takziah daripada rakan politik, sahabat serta masyarakat yang mengenang jasa serta budi baktinya kepada rakyat.



Source link

OR

Scroll to Top