Malaysia, Kemboja lancar jalinan pembayaran QR rentas sempadan

Malaysia, Kemboja lancar jalinan pembayaran QR rentas sempadan


KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) hari ini melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan.

Menerusi jalinan ini, pengguna dan peniaga di kedua-dua negara boleh membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.

Projek ini bermula selepas BNM dan NBC memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran pada bulan Februari 2024 yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Kemboja.

Inisiatif ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dan majlis hari ini menandakan selesainya fasa pertama jalinan pembayaran ini.

BNM berkata, di bawah fasa pertama, pengguna dari Kemboja boleh membuat pembayaran runcit secara segera di Malaysia dengan mengimbas kod QR DuitNow yang dipaparkan oleh peniaga menggunakan aplikasi mudah alih mereka (iaitu aplikasi Bakong dan Maybank M2U KH).

Kejayaan pelancaran ini direalisasikan melalui kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan dari kedua-dua negara, termasuk NBC, Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Maybank sebagai bank penaja dan penyelesaian, serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara.

Dalam fasa jalinan yang seterusnya, pengguna Malaysia yang mengunjungi Kemboja juga akan boleh membayar pembelian mereka secara lancar kepada peniaga Kemboja dengan mengimbas KhmerQR (KHQR) menggunakan aplikasi mudah alih daripada institusi kewangan peserta.

Inisiatif jalinan pembayaran QR ini akan membolehkan lebih lima juta peniaga di Kemboja dan Malaysia, terutamanya peniaga kecil, untuk mengakses jumlah pelanggan yang lebih luas daripada kedua-dua negara.

Secara amnya, inisiatif ini akan merangsang aktiviti perdagangan, menggiatkan pelancongan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

Menurutnya, pencapaian ini juga mencerminkan visi kolektif ASEAN serta matlamat inisiatif Regional Payment Connectivity untuk integrasi kewangan serantau yang lebih besar dan pembangunan ekonomi yang inklusif.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kerjasama ini akan membawa negara lebih dekat ke arah merealisasikan visi ekosistem pembayaran runcit yang saling berhubung kait dan lancar antara Kemboja dengan Malaysia.

Dengan menghubungkan kod QR kebangsaan, transaksi rentas sempadan antara kedua-dua negara akan menjadi lebih pantas dan cekap, lantas menawarkan manfaat yang besar kepada jutaan individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan menyokong agenda ekonomi digital yang lebih meluas, tetapi juga merangsang kegiatan ekonomi di seluruh rantau dengan memanfaatkan kemudahan dan kecekapan pembayaran QR. Kami kekal komited untuk mendorong integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih luas dalam ASEAN, melalui kerjasama erat bersama rakan serantau untuk memajukan perkhidmatan kewangan digital yang selamat dan terjamin,” katanya.

Gabenor NBC, Dr. Chea Serey berkata, acara hari ini menandakan pencapaian penting yang mencerminkan kerjasama kukuh antara bank pusat dan rakan usaha sama kami dari kedua-dua negara.

” Inisiatif pembayaran rentas sempadan ini akan memainkan peranan penting untuk merangsang aktiviti perdagangan dan memajukan rangkuman kewangan dalam kedua-dua negara, menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap, selamat dan saling berhubung kait,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

 

 



Source link

OR

Scroll to Top