mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah melakukan persiapan rapi bagi final Piala FA 2025 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat berterusan bersama wakil kelab dan penyokong kedua-dua pasukan bagi memastikan final berlangsung lancar dan selamat.
“Final Piala FA kali ini memang istimewa. Kita tak selalu tengok Sabah sampai ke peringkat akhir, jadi aura final berbeza tahun ini. Penyokong dari kedua-dua negeri akan datang dalam jumlah besar, dan semangat mereka pasti memeriahkan stadium.
“Kami di MFL dah buat persediaan rapi dari keselamatan, operasi stadium, hingga pengurusan penyokong. Setiap aspek dipantau supaya semua yang hadir dapat pengalaman terbaik, bukan sekadar menonton perlawanan, tetapi merasai suasana final yang sebenar.
“Kita nak fan rasa excitement dari mula pintu dibuka sampai wisel penamat,” katanya, dalam segmen podcast Apa-Apa Saja Harian Metro yang membincangkan mengenai final Piala FA, Ahad ini.
Beliau menambah, final kali ini membawa wajah baharu kerana Sabah kembali beraksi di pentas akhir selepas kali terakhir mara pada 1998, sekali gus mewarnai bola sepak tempatan.
“Selain perlawanan itu sendiri, kita juga gabungkan hiburan. Kita ada persembahan artis terkenal. Penyokong juga boleh undi lagu yang mereka mahu dengar, jadi ada interaksi terus dengan mereka.
Final ini bukan sekadar bola sepak namun ia satu pengalaman menyeluruh untuk semua,” katanya.
Menurut Shazly, MFL menjangkakan kehadiran penyokong yang ramai dengan konvoi dari Johor, Sabah dan kawasan Lembah Klang, sekaligus menambah ‘vibe’ final yang unik.
“Kita tahu fan akan datang awal, jadi kita perlu pastikan pengisian ada dari awal pintu dibuka. Pintu stadium dijangka dibuka sekitar 5:00 hingga 5:30 petang, bergantung nasihat PDRM. Semua fan akan ambil tempat duduk mengikut tiket masing-masing,” katanya.
Beliau menjelaskan tiket dijual pada harga RM50, RM70, RM150 dan RM200 bagi memberi pilihan kepada penyokong, sambil memastikan stadium penuh dan suasana meriah.
“Final Piala FA ini bukan sekadar perlawanan. Ia satu perayaan bola sepak, sambil memberikan pengalaman baru yang segar, penuh warna dan meriah bagi semua yang hadir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






