saifulaffendy@hmetro.com.my
Bangkok: Ng Jing Xuan memecahkan rekod kebangsaan dengan kelebihan lebih tiga meter untuk meraih pingat perak dalam final acara rejam lembing Sukan SEA, hari ini.
Atlet berusia 21 tahun dari Sarawak itu mencipta rekod kebangsaan baharu apabila melakukan rejaman sejauh 52.17 meter (m) pada aksi final di Stadium Nasional Suphachalasai, hari ini.
Catatan itu mengatasi rekod peribadi miliknya 49.11m, yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka Filipina pada Mei lalu.
Rekod kebangsaan sebelum ini dipegang oleh Siti Nur Nadiah Othman dengan catatan 49.34m yang direkodkan pada Terbuka Thailand 2014.
Berkongsi kejayaannya itu, Jing Xuan yang tampil kali kedua di pentas Sukan SEA secara berseloroh menyatakan Thailand membawa tuah kepada dirinya kerana berjaya memperbaharui rekod kebangsaan yang dilakukan oleh Siti, juga di Thailand.
“Saya rasa Thailand adalah tempat yang sangat baik, tempat yang membawa tuah. Saya amat gembira kerana dapat mencapai keputusan ini sebab saya memang sudah membuat persiapan untuk Sukan SEA selama dua tahun.
“Saya sentiasa berusaha untuk memecahkan rekod kebangsaan. Tetapi sebelum ini saya berasa agak kecewa kerana di setiap kejohanan seperti Sukan Universiti Dunia saya meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan, namun tidak berjaya.
“Namun, syukur dan bernasib baik kerana saya tidak berputus asa. Saya tahu Sukan SEA adalah kejohanan yang benar-benar memerlukan saya memberikan segala-galanya. Akhirnya tercapai juga impian saya,” katanya.
Pingat emas dimenangi atlet Thailand, Jariya Wichaidit, dengan lontaran 55.64m, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Indonesia, Nur Kamila Bahtiar, yang mencatat 51.66m.
© New Straits Times Press (M) Bhd






